HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Februari 2016

Nekad masuk pusat pulih ketagihan

MY METRO


Klang: “Ada kalanya hendak bangun tidur pun takut akibat ketagihan. Jadi saya buat keputusan masuk ke sini semata-mata untuk pulih daripada ketagihan dadah,” kata penghuni Pusat Pulih dan Prihatin (CCSC) Klang di sini, semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Karim, 41, berkata, pelbagai aktiviti dijalankan di situ dan ia banyak mengubah kehidupannya sekarang.

“Saya tinggal di sini bersama beberapa individu yang ingin berubah. Kami umpama adik-beradik kerana sama-sama berpengalaman melalui sejarah hitam dalam hidup masing-masing.

“Kini saya boleh mengaji al-Quran dengan lancar selepas mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar di sini begitu juga dengan program kemahiran lain,” katanya.

Menurut Karim yang masih bujang, dia ketagihan dadah jenis ganja sejak berpuluh tahun lalu dan beberapa kali keluar masuk pusat serenti.

“Saya mula menagih secara suka-suka selepas dipelawa kawan dan selepas bekerja, ia mula menjadi tabiat di mana saya akan menghisap ganja sebelum ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, bermula 2010, ketagihan saya semakin tidak terkawal dan saya mula mengambil dadah heroin. Akhirnya, selepas sedar bahawa ia sebenarnya lebih banyak merosakkan hidup, saya nekad untuk berubah dan masuk ke CCSC. Saya hanya akan keluar jika benar-benar yakin bebas daripada belenggu dadah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Rawatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor Siti Mariam Bebakar berkata, CCSC memberi khidmat kepada individu yang memerlukan bantuan bagi berdepan masalah ketagihan dadah.

Menurut Siti Mariam, lima CCSC ditubuhkan di Selangor khusus bagi memberi peluang kepada individu berdepan masalah ketagihan dadah untuk menjalani rawatan pemulihan.






Penghuni menunaikan solat Dhuha semasa Program Jelajah AADKdi CCSC, Jalan Dato Mohd Sidin, Bukit Kuda, Klang. 


Tiada ulasan: