HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2016

Mukhriz mungkin lebih lantang selepas tak jadi MB - Penganalisis politik

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tidak mustahil bagi bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk bersikap lantang seperti bapanya selepas tidak lagi mentadbir kerajaan negeri, demikian menurut penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
 
Mengulas perkembangan terbaru krisis jawatan nombor satu negeri itu yang kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Azizuddin seterusnya berkata anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamed itu tidak akan teragak-agak untuk mengkritik kepimpinan parti.
 
"Itu sudah menjadi haknya dan lebih terbuka untuk mengkritik selepas tidak lagi ada jawatan melainkan sebagai ADUN. 
 
"(Namun) Bergantung kepada Mukhriz. Mungkin sebelum ini beliau agak terikat kerana masih bergelar MB. Jadi hendak bercakap terlampau terbuka pun perlu bertapis, walaupun (ada) beberapa ucapannya terbuka mengkritik kepimpinan Umno pusat. 
 
"Namun jika beliau fikirkan untuk menyatupadukan Umno Kedah lebih penting dalam agenda, mungkin beliau terpaksa bersama kepimpinan Kedah sekarang," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Berkuatkuasa esok, Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar yang baru selepas Mukhriz gagal memperolehi majoriti sokongan wakil rakyat di dalam DUN negeri itu.
 
Mukhriz dilantik sebagai MB selepas Umno-BN menawan semula negeri itu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  
 
Namun belum cukup satu penggal pun, khidmat beliau sebagai MB dan Ketua Perhubungan Umno Kedah dilanda pelbagai kemelut dalaman. 
 
Banyak daripada masalah itu berpaksi kepada hubungan rapuh diantara Mukhriz dan ketua-ketua Bahagian Umno serta Ahmad Bashah selaku Timbalan Ketua Perhubungan Negeri.
  
Minggu lalu, Bashah mengetuai "pemberontakan" Umno Kedah  terhadap Mukhriz dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikan beliau.
 
Mukhriz juga didakwa 'sebulu' dengan bapanya, yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang kerapkali mengkritik kepimpinan Najib, terutamanya dalam skandal derma politik RM2.6 bilion.
 
Azizuddin seterusnya melihat Ahmad Bashah bakal berdepan dengan situasi sukar dalam memimpin negeri dan parti itu, apatah lagi dengan baki dua tahun sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
 
"Tugas Ahmad Bashah dilihat amat berat untuk memimpin Kedah. Beliau juga mempunyai dua tahun sahaja lagi untuk memimpin dan menyatu-padukan Umno Kedah yang dilihat berpecah akibat krisis ini, juga usaha menarik sokongan orang ramai terhadap Umno-BN," ujarnya yang juga pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
Umno-BN kena kerja kuat tarik sokongan muda
 
Senada dengan Azizuddin adalah seorang lagi penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam yang merasakan pimpinan Umno Kedah perlu bekerja lebih kuat untuk meraih sokongan golongan muda yang menyumbang kepada golongan pengundi terbesar pada pilihan raya.
 
"Golongan muda melihat Mukhriz sebagai mewakili mereka di dalam pentadbirannya. Mukhriz berjaya membawa sokongan orang muda terhadapnya. 
 
"Ia akan beri kesan terhadap sokongan ornag muda kepada Umno dan BN. Mereka mungkin kecewa kerana politik mengatasi suara orang muda," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Persoalan berkenaan penerimaan orang ramai dan jaminan kekuatan Umno-BN perlu dijelaskan oleh parti terhadap rakyat yang berdepan dengan kecelaruan politik negeri itu,tambah Ramlah.
 
"Bagaimana penerimaan orang ramai? Apakah mereka boleh menerima perubahan ini? Itu persoalan besar. 
 
"Mungkin golongan Umno boleh terima kerana tuntutan mereka berjaya. Golongan bukan dari Umno, orang Melayu Kedah atau golongan muda berpendidikan, golongan muda mungkin melihat Mukhriz lebih baik," tegasnya.
 
Mukhriz didakwa hanya memperolehi sokongan tiga daripada 21 ADUN BN manakala sokongan pembangkang terhadapnya berbelah bahagi. 


Tiada ulasan: