KUALA LUMPUR: Rakyat harus menerima realiti bahawa masyarakat tempatan,
khususnya golongan belia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D
iaitu bahaya, kotor dan sukar.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana dalam
beberapa bidang pekerjaan seperti pembinaan, perladangan dan
perkilangan, gaji yang ditawarkan agak rendah dan bebanan kerja yang
berat.
"Saya percaya industri sedemikian juga tidak mampu menawarkan gaji yang
tinggi, justeru kita tiada pilihan selain terpaksa mengambil pekerja
asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi 'fitness in
my pocket' di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad
lepas yang mencabar belia tempatan mengambil alih tempat pekerja asing
untuk bekerja di sektor 3D.
Khairy berkata kenyataan Ahmad Zahid itu menjelaskan mengenai realiti
mengenai bidang yang tidak diminati rakyat tempatan dan memerlukan
pengambilan pekerja asing untuk bekerja di bidang itu.
Baru-baru ini, kerajaan dilapor merancang untuk membawa masuk 1.5 juta
pekerja dari negara Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga
hingga lima tahun.
Sementara itu, mengenai aplikasi baharu yang dilancarkan itu, ia
dibangunkan oleh eSolved MSC Sdn Bhd yang membolehkan pengguna telefon
pintar untuk melatih dan membuat senaman sendiri dengan mudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan