HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Mac 2016

Dr M nasihat Pak Lah jadi penasihat 'British', bukan penasihat 'Melayu'

Zulaikha Zulkifli  


LIHAT VIDEO DI SINI


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi cukup layak untuk menggantikannya sebagai penasihat Petronas.

Bagaimanapun, beliau secara sinis berharap agar Abdullah dapat menjadi seorang penasihat 'British' dan bukan penasihat 'Melayu'.

Menjelaskan perkara itu, Mahathir berkata, berbeza dengan penasihat daripada kaum Melayu, nasihat daripada seorang penasihat British pada suatu ketika dahulu didengari dan dianggap sebagai satu arahan.

"Dia cukup layak untuk jadi penasihat. Saya harap dia jadi penasihat British, bukan penasihat Melayu. Penasihat Melayu kita bagi nasihat sahaja, tak payah turun.

"Kita sebelum ini pernah ada penasihat British. Bila dia (penasihat British) bagi nasihat, ia jadi satu arahan.
"Penasihat Melayu, bagi nasihat orang lupa aja lah. Tapi saya percaya Pak Lah akan memberi nasihat yang baik kepada Petronas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Ditanya apakah yang menyebabkan negarawan itu mengatakan Abdullah layak untuk memegang jawatan sebagai penasihat Petronas, Dr Mahathir berkata:

"Dia dah jadi perdana menteri. Semua perdana menteri layak (jadi penasihat) termasuk saya la kot," katanya tersenyum.

Semalam, kabinet bersetuju melantik Abdullah sebagai penasihat Petronas yang baru dan berkuat kuasa 1 April ini.

Abdullah menggantikan Mahathir yang ditamatkan perkhidmatan sebagai penasihat Petronas oleh kabinet pada 11 Mac lalu.

Keputusan menamatkan pelantikan Mahathir dibuat oleh kabinet selepas negarawan itu melancarkan Deklarasi Rakyat dan dianggap tidak wajar lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan. 


Tiada ulasan: