HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Mac 2016

Guru disaran daftar persatuan

Guru disaran daftar persatuan
Abdul Jalil bercakap semasa Program Rumah Ngaji yang dicetuskan WUI dan Persatuan Kebajikan Guru-Guru al-Quran negeri.


MUAR - Budaya mengajar al-Quran dalam kalangan masyarakat kini semakin dipandang sepi.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Guru-Guru al-Quran negeri, Shamsudin Ismail berkata, masalah itu berpunca daripada ramai tenaga pengajar al-Quran memilih mengajar secara bersendirian tanpa mendaftar bawah persatuan.

“Sebenarnya, ada ramai guru mengaji di sekeliling kita, cuma kewujudan mereka tidak disedari kerana tidak mendaftar persatuan. Penglibatan mereka dalam persatuan adalah penting kerana banyak manfaat yang mereka peroleh dengan menyertai kami berbanding memilih menceburi bidang ini secara bersendirian.

“Kami khuatir, jika ada guru mengaji yang tidak cukup ilmu mengajar tanpa pengawasan pihak atasan, ia boleh menjadi permulaan kerosakan generasi akan datang yang berpunca daripada teknik tidak betul pembelajaran al-Quran,” katanya.

Beliau ditemui pada program Rumah Ngaji yang dicetuskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Guru-Guru al-Quran negeri di Kompleks Bimbingan Tani Pagoh, kelmarin.

Melalui program tersebut, ia berjaya menarik minat masyarakat termasuk golongan dewasa yang menjadi sukarelawan tenaga pengajar al-Quran bertauliah.

“Program yang dianjurkan bawah persatuan kebajikan ini cuba melahirkan guru mengaji yang serba boleh dan mahir mengenai al-Quran sebelum mereka mendidik orang lain.

“Kami menyediakan latihan dan kursus kepada peserta yang berminat menjadi tenaga pengajar al-Quran. Melalui aktiviti yang dibekalkan ini, kami dapat menilai kemampuan mereka nanti,” katanya.

Jelasnya, latihan dan kursus juga akan dilakukan secara berkala dalam usaha memastikan kemantapan dan teknik pengajaran terhadap pelajar sentiasa menjadi yang terbaik.

“Al-Quran adalah mukjizat yang amat besar. Jika ingin mendidik, ia bukan mudah dan perlu sentiasa dititik beratkan.

“Kerana itu, kami akan melakukan pemantauan dan latihan secara berkala setiap dua bulan bagi memastikan tenaga pengajar sentiasa konsisten dalam menyampaikan ilmu,” katanya.

Shamsudin berkata, segala latihan dan kursus yang ditawarkan adalah percuma.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menghalang individu yang berminat untuk membuka rumah ngaji suatu masa nanti, menerima bayaran daripada pelajar mereka.

“Itu terpulang kerana ia adalah hak individu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak tujuh Rumah Ngaji telah wujud di daerah ini dan pihaknya menyasarkan untuk membangunkan 100 buah lagi dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Beliau yang juga penyelia di Pusat Pengajian al-Quran dan Tahfiz Hajjah Ramlah, di sini, berkata, peserta akan diberikan sijil untuk melayakkan mereka menerajui rumah ngaji masing-masing.

“Setelah memperoleh sijil tersebut, mereka dibenarkan menguruskan rumah ngaji dan memulakan sesi pembelajaran kepada murid.

“Melalui sijil itu juga, barulah mereka boleh dianggap sebagai seorang guru mengaji yang bertauliah,” katanya.

Shamsudin berkata, pihaknya akan memastikan peserta yang menguruskan kelas tersebut sentiasa mengikut jadual yang ditetapkan dan ia dilakukan secara konsisten.

Peserta perlu ikut jadual

“Ini salah satu kepentingan apabila mereka mendaftar bersama persatuan, mereka tidak boleh sesuka hati mengadakan kelas tanpa mematuhi jadual.

“Tujuan kami melakukan perkara ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pelajar yang akan menyertai kelas mereka, itu semua di bawah pemantauan kami,” katanya.

Katanya lagi, latihan yang akan disediakan adalah seperti taranum, tajwid, qiraat dan penulisan al-Quran.
Tenaga pengajar yang berminat untuk mendaftar di bawah persatuan boleh menghubunginya di talian 017-6922317.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan WUI, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, kewujudan latihan dan kursus ini adalah kepentingan kepada individu sebelum mereka dibenarkan mengajar individu lain mendalami al-Quran.

Menurutnya, ilmu agama perlu disebarkan dengan betul dan bersungguh-sungguh kerana al-Quran adalah mukjizat ALLAH SWT yang tidak boleh dipandang remeh.

“Untuk mendalami al-Quran secara bersendirian bukan mudah. Kerana itu, melalui program seperti ini, ia membantu peserta memperhalus bidang al-Quran mereka sebelum ilmu itu diturunkan kepada orang lain,” katanya.


Tiada ulasan: