HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Mac 2016

Masa depan Guan Eng kini di Mahkamah Rakyat

 Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng  sekian lama menjadikan amanah dan ketelusan sebagai tonggak perjuangan politik beliau dan DAP. 
 
Beliau tentunya akur bahawa pemimpin politik bukan sahaja harus amanah tetapi juga PERLU dilihat oleh rakyat sebagai mendokong nilai sedemikian. 
 
Setiausaha Agung DAP itu kini bergelut dengan persepsi rakyat  setelah wujud bukti-bukti beliau membeli banglo kediamannya di George Town di bawah harga pasaran. 
 
Lim mendakwa harga RM2.8 juta untuk banglo dua tingkat itu di persetujui antara pihaknya dan pemilik rumah pada tahun 2012 namun urusniaga berkenaan hanya dimeterai pada tahun lalu. 
 
Ditanya mengenai harga bawah pasaran itu, Lim mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai pasaran hartanah  atau memperolehi sebarang keuntungan daripada urusan itu. 
 
Namun dokumen rasmi yang kini bertebaran  menunjukkan bahawa banglo itu bernilai RM4.27 juta pada tahun lalu, menurut Pemuda Umno Pulau Pinang. 

Ketua Pemudanya Rafizal Abdul Rahim berkata  maklumat penaksiran itu  disampaikan secara rasmi kepada Lim, justeru dakwan Ketua Menteri itu bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai harga pasaran banglo berkenaan tidak benar. 
 
Dari satu sudut,  Lim amat bernasib baik kerana pemilik banglo itu sanggup menjual rumah kepadanya hampir RM1.5 juta kurang daripada harga pasaran. 
 
Lim mendakwa beliau tidak memperolehi sebarang keuntungan atau memberikan sebarang laba kepada pemilik banglo itu hasil urusniaga berkenaan.  
 
Dalam erti kata lain, menurut Lim,  tidak ada unsur salah guna kuasa atau rasuah. Diskaun lebih sejuta ringgit diperolehinya tidak harus dipersoalkan, kata Ketua Menteri itu.   
 
Namun spekulasi terus bertiup walaupun Lim bertegas mahu menyaman sesiapa yang menuduhnya mengamalkan rasuah. 
 
Spekulasi itu semakin liar kerana individu yang menjual banglo berkenaan dikaitkan sebagai rakan niaga seorang usahawan yang membeli sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis. 
 
Tanah itu dijual oleh kerajaan negeri pimpinan Lim sungguhpun tapak itu dilapor sebagai dikhususkan untuk projek perumahan awam. 
 
Segala kemelut ini menimbulkan prasangka terhadap nasib baik Lim yang dapat membeli sebuah banglo pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran. 
 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah tentu akan menjalankan siasatan terperinci dalam mengenal pasti sama berlaku salah laku dalam satu lagi episod pembelian rumah banglo oleh seorang pemimpin negeri. 
 
Namun, buat masa ini  Lim dan parti DAP lebih cemas menantikan keputusan rakyat yang bersandar kepada  tafsiran dan andaian mereka mengenai pembelian banglo di bawah harga pasaran itu. 
 
Ini kerana, jika pun SPRM “melepaskan” Lim kerana tidak cukup bukti,  kredibiliti ketua menteri Pulau Pinang itu  akan tetap bergantung kepada persepsi dan tanggapan rakyat. 


Tiada ulasan: