KUALA LUMPUR: Hampir 1.2 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2016
(BR1M 2016) ditolak tahun ini atas beberapa faktor utama, menurut
Kementerian Kewangan.
Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu
faktor pemohon individu mempunyai pendapatan melebihi RM2,000
mencatatkan peratusan tertinggi permohonan ditolak iaitu 24 peratus
diikuti 21 peratus pemohon isi rumah berpendapatan melebihi RM4,000.
"Faktor lain ialah 15 peratus pemohon disenarai sebagai penerima Baucar
Buku 2016, sebanyak 10 peratus pemohon atau pasangan telah wujud
sebagai pemohon atau pasangan permohonan lain (dublikasi), maklumat
pasangan berbeza dengan data Jabatan Pendaftaran Negara dan memerlukan
pengesahan (10 peratus).
"Selain itu, 20 peratus pula disebabkan lain-lain faktor," kata kementerian itu.
Kementerian Kewangan berkata demikian, menjawab pertanyaan V. Sivakumar
(DAP-Batu Gajah) yang meminta kementerian itu menyatakan apakah faktor
lain selain pendapatan isi rumah yang menyebabkan seseorang itu hilang
kelayakan mendapat bantuan BR1M.
Beliau juga ingin tahu jumlah permohonan yang ditolak tahun ini serta pecahan berdasarkan faktor penolakan permohonan.
Menurut Kementerian Kewangan, pemohon yang gagal, diberi peluang
membuat rayuan di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
dengan mengemukakan segala dokumen berkaitan mulai 15 Mac hingga 15
April ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan