KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata
kerjasama antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan
pemimpin pembangkang dalam cubaan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak
sebagai perdana menteri dijangka tidak akan bertahan lama.
Beliau mengibaratkan gabungan menerusi Deklarasi Rakyat bagi
menyingkirkan Najib sebagai “retak menunggu belah” kerana kerjasama itu
tidak berdasarkan kestabilan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Dr Mahathir mengetuai
kumpulan 58 individu termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri
Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR – dalam memeterai
deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Penandatangan lain termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Dr Subramaniam berkata semua pihak perlu menghormati sistem demokrasi
negara dan sebarang ketidakpuasan hati perlu diselesaikan melalui
saluran sedia ada.
"Kita amalkan sistem demokrasi yang diasaskan kepada sistem parti-parti
politik sedia ada dan apa-apa perubahan kepemimpinan biasanya adalah di
bawah sistem itu sama ada di bawah parti atau pilihan raya umum yang
diadakan.
"Sistem sudah ada untuk putuskan siapa ketua. Kita tidak mahu budaya di
mana pemimpin boleh disingkirkan melalui kuasa di luar sistem yang
sedia ada," katanya.
Menurutnya jika keadaan itu berlaku, bukan sahaja Najib malah pemimpin
lain pada masa akan datang juga berkemungkinan berhadapan dengan situasi
sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan