Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh hari ini mengemukakan usul untuk membahaskan kes kecuaian yang membabitkan seramai 162 kanak-kanak di sebuah rumah perlindungan berkaitan kerajaan.
Beliau merujuk laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu yang mendedahkan sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Kuantan yang di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat mengabai penghuninya serta tidak memberikan mereka layanan sewajarnya.
“Saya pergi dengan baik hati semalam tapi malangnya saya tidak dibenarkan masuk.
“Adakah sesuatu yang ingin disorok? Saya khuatir atas keselamatan (kanak-kanak) yang dikatakan diabaikan itu,” kata Fuziah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Laporan Sinar memetik sumber dalaman sebagai berkata bahawa kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun terbabit bukan sahaja tidak mendapat hak sepatutnya, malah ada yang dikurung.
Dakwanya, sumber itu, jumlah pekerja juga tidak mencukupi iaitu satu pengasuh menjaga 10 kanak-kanak.
Lebih menyedihkan, sumber tersebut mendakwa, kanak-kanak terlalu aktif ditempatkan dalam katil bayi yang ditelangkupkan bagi menghalang mereka keluar.
Dia juga mendakwa, penghuni yang bersekolah hanya dibekalkan sepasang uniform sekolah dan mereka perlu membasuhnya setiap hari untuk dipakai ke sekolah.
Sinar juga memetik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang berkata, beliau melawat rumah perlindungan itu dua bulan lalu dan berpuas hati dengan keadaan di situ.
“Berdasarkan pemantauan saya, semuanya baik, tetapi saya tetap akan minta siasat perkara ini,” katanya yang dipetik akhbar itu.
Fuziah bagaimanapun berkata adalah tidak mencukupi sekadar membuat penafian, dan menuntut supaya JKM membuktikan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan