HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Mac 2016

Polis siasat isu banglo LGE – Khalid

 
Polis akan memanggil Phang Li Koon dan Lim Guan Eng pada bila-bila masa untuk membantu siasatan berhubung dakwaan akuan berkanun meragukan.


khalid


KUALA LUMPUR: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap Phang Li Koon, iaitu pemilik asal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis mendapat laporan yang mendakwa kandungan akuan berkanun (SD) Li Koon mempunyai maklumat kurang tepat.

“Memang ada, kita telah membuka kertas siasatan ‘false declaration’ terhadap Phang Li Koon.

“Kita akan panggil semua saksi terlibat termasuk Phang dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-209 Tahun 2016, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Khalid memberitahu, polis akan memanggil mereka pada bila-bila masa untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kandungan akuan berkanun Li Koon yang didakwa mempunyai maklumat kurang tepat.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ifan Zaini Md Tahar dilapor berkata, antara maklumat terkandung dalam akuan bersumpah yang diikrarkan Li Koon ialah “I have no business dealings with the state government”.

Li Koon adalah pemilik banglo di Jalan Pinhorn yang kemudiannya dibeli Guan Eng dengan harga RM2.8 juta.

Wanita terbabit membuat akuan berkanun selepas isu penjualan banglo miliknya itu mendapat liputan meluas media massa kerana dikatakan dijual di bawah harga pasaran.

Akuan berkanun itu dibaca oleh EXCO negeri, Phee Boon Poh, yang mempunyai hubungan sebagai saudara jauh dengan Li Koon dan penasihat kepada Persatuan Phang, pada Selasa lalu.

Dalam akuan itu, Li Koon juga mengatakan beliau tidak memperoleh sebarang manfaat daripada kerajaan negeri kerana menjual banglo di Jalan Pinhorn di George Town kepada Guan Eng.

Tiada ulasan: