Netizen memberi pelbagai reaksi terhadap penganjuran program.
PUCHONG - Program Gotong-Royong Perpaduan Menangkap Kucing Liar yang menimbulkan kemarahan segelintir pihak apabila ia viral dalam sebuah laman grup sosial dibatalkan dan bertukar menjadi majlis dialog, pagi semalam.
Difahamkan, program anjuran Perbadanan Pengurusan (MC) Pangsapuri Puchong Permata 1 itu sepatutnya dirancang dilaksanakan pagi semalam bermula jam 9 pagi.
Namun selepas mendapat tentangan beberapa pihak dan atas nasihat pihak berwajib, program diganti dengan majlis dialog antara penduduk, wakil Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan.
Pengerusi MC Pangsapuri Puchong Permata 1, Mohamad Halim Husnan berkata, cadangan menganjurkan program itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan berhubung najis kucing hampir setiap hari daripada penduduk pangsapuri empat blok yang mempunyai 476 unit rumah itu.
"Isu najis kucing yang bersepah di koridor menimbulkan ketidakselesaan penduduk sejak tiga tahun lalu.
“Tukang cuci yang MC lantik memang ada bersihkan najis ni tapi masalah dan punca utama tidak diatasi menyebabkan ada penduduk salahkan pihak pengurusan," katanya.
Halim berkata, dia kesal disebabkan isu tersebut diviralkan nama pelbagai pihak termasuk MPSJ tercemar serta menerima pelbagai komen negatif.
“Bila dah viral, penduduk yang nak sertai program gotong-royong diugut macam-macam ancaman,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan dalam majlis dialog semalam, pihaknya akan menganjurkan program penyerahan kucing jalanan kepada NGO yang terbabit dalam tempoh dua minggu lagi.
Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Muhammad Azli Miswan menafikan haiwan yang diserahkan kepada pihaknya akan terus dibunuh.
"Pihak majlis akan letak kucing tidak bertuan ke dalam kurungan dan tawarkan kepada orang ramai untuk pemeliharaan.
"Kalau tak dituntut, haiwan akan diserahkan kepada NGO berkaitan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Isu gotong-royong menangkap kucing liar mula menjadi topik panas selepas seorang pengikut laman grup sosial memviralkan kain rentang penganjuran program tersebut.
Seorang individu yang menghalang program juga berjanji akan membersihkan najis kucing tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan