HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Mac 2016

Remaja sekarang ketagih ‘kebebasan’

 
Generasi zaman ini, Gen Z dikatakan mempunyai perasaan bahawa mereka mampu bersedia untuk apa-apa sahaja selain sentiasa berkemahuan tinggi termasuk meninggalkan ibu bapa dan kononnya memilih untuk berdikari.
 
 
 
insist


Kelmarin, saya membaca satu berita mengenai statistik kes kehilangan kanak-kanak di Malaysia. Ia bukanlah berita yang boleh dipandang remeh, apatah lagi apabila melibatkan kanak-kanak. Angka purata yang didedahkan pula benar-benar membuatkan saya risau dan gentar.

Menurut laporan itu, Pangkalan Data Statistik Kehilangan Kanak-kanak Bawah 18 Tahun terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, dalam tempoh dua bulan tersebut, sebanyak 268 kes telah dilaporkan dengan 191 kes melibatkan kanak-kanak perempuan manakala lelaki hanya 77.

Menariknya, hasil siasatan mendapati antara sebab utama kanak-kanak terbabit hilang adalah kerana mengikut rakan (50), mahu mencari kebebasan (141) dan mengikut kekasih (32) dan rata-rata yang hilang terdiri daripada golongan remaja.

Saya tertarik juga dengan tiga sebab utama ini, yang bagi saya semuanya berhubung kait, dengan punca paling ketara iaitu ketagihan untuk bebas.

Bebas, apakah pemahaman sebenar golongan remaja terhadap kebebasan yang dimaksudkan itu? Adakah kebebasan mereka adalah dengan berjauhan daripada ibu bapa, tidak dikawal oleh sesiapa dan boleh membuat apa-apa sesuka hati?

Sebagai seorang ibu, saya tergerak untuk mendapat tahu pemahaman sebenar ‘kebebasan’ oleh remaja masa sekarang dan kesannya kepada kanak-kanak atau remaja yang akhirnya memilih untuk melarikan diri.

Menurut Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, dari UKM, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, kanak-kanak yang melarikan diri dari rumah mencari kebebasan ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun.

“Fasa ini kita panggil sebagai ‘early adolescence period’ di mana individu mempunyai banyak keinginan terutamanya mereka akan berasakan perlunya kebebasan dan masa yang bersendirian,” kata Rahim.

Rahim juga mengaitkan ia dengan perubahan biologi, hormon dalam badan yang mendesak kanak- kanak atau remaja cenderung pada pengaruh rakan selain memiliki keinginan besar untuk mengambil perkara-perkara yang berisiko dan mencuba perkara yang baru.

“Mereka juga menganggap dirinya sudah matang dan berupaya berdikiari, berasakan dirinya sebagai orang dewasa dan cuba untuk mimik perkara-perkara yang dibuat oleh orang dewasa,” tambahnya lagi.

Ini dikaitkan dengan generasi zaman ini, Gen Z yang mempunyai perasaan bahawa mereka mampu bersedia untuk apa-apa sahaja selain sentiasa berkemahuan tinggi.

“Samalah dengan kes lari dari rumah. Mereka rasa diri cukup matang dan bersedia, mereka terus bertindak tanpa berfikir..,” ujar Rahim.

Banyak lagi kami bincangkan mengenai isu ini termasuk kesannya, yang mana bagi remaja perempuan berakhir sebagai keldai dadah selepas dipergunakan oleh teman lelaki, mangsa rogol, bekerja di temapat berunsur seksual demi menampung kehidupan, tidak ketinggalan yang hamil (anak luar nikah) dan seterusnya membuang bayi berkenaan…

Bagi remaja lelaki pula, selalunya menyertai kumpulan kongsi gelap yang menjadi tempat perteduhan dan sumber pendapatan.

Rahim menyifatkan kes yang semakin menjadi-jadi ini juga berpunca daripada ibu bapa, masyarakat dan pengaruh rakan.

Tetapi sebagai seorang ibu, saya fikir kitalah yang menjadi punca utama di mana tekanan hidup sekarang lebih mengutamakan kita mengejar duit daripada mengejar masa untuk bersama anak.

Kealpaan ibu bapa dalam menangani karenah kanak-kanak dan remaja muda, kegagalan kita benar-benar memahami keperluan mereka, kesilapan kita dalam ilmu parenting antara sebab mengapa isu seperti ini semakin menjadi-jadi.

Kita lebih menumpu bekerja di pejabat 8 hingga 10 jam sehari, masa untuk diri sendiri sejam dua, tidur 8 jam, terperangkap dalam kesesakan jalan raya sejam dua, makan, minum, berapa agaknya baki masa berkualiti yang dapat kita kongsi bersama anak-anak? Ini soalan untuk diri sendiri juga…

Tiada ulasan: