Mohd Azam
KOTA BHARU - Pemuda Umno Kelantan tidak sesekali akan menjadi pengkhianat parti dan negara dengan menyertai perhimpunan ‘Menyelamatkan Malaysia’ untuk menentang pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda negeri, Mohd Azam Ismail berkata, seluruh warga pemuda Kelantan sebulat suara menolak perhimpunan itu yang jelas sekali tidak mencerminkan kematangan dalam tindak-tanduk dan hanya lebih kepada melepaskan kemarahan sahaja.
“Kita bukan pengkhianat, kita seharusnya berdiri teguh di belakang presiden Umno dan perdana menteri.
Kita tidak akan rosakkan institusi parti. Bersamalah kita dokong kepimpinan sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau juga menyokong amaran Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin untuk mengambil tindakan disiplin kepada anggota yang menyertai perhimpunan anjuran pembangkang pada 27 Mac ini.
Bagi Mohd Azam, warga Pemuda Kelantan tidak akan terpengaruh dengan ‘panggilan pemusnah’ parti dan negara itu kerana bagi beliau ia hanya perbuatan sia-sia.
“Jangan cari masalah dengan menyokong pergerakan Deklarasi Rakyat, yang sememangnya kita sedar niat sebenar mereka untuk menggulingkan perdana menteri dan kepimpinan negara,” katanya.
Tambahnya, secara terang sudah nampak dan boleh ditafsirkan dengan realistik oleh warga Pemuda apabila perhimpunan itu akan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga bekas perdana menteri negara yang digelar seorang negarawan.
“Takkan kita mahu terikut-ikut dengan rentak kumpulan yang menjadi kambing hitam kepada pembangkang untuk mengucar-ngacirkan keadaan.
“Inilah masanya, untuk kita buktikan kesetiaan terhadap parti dan kepimpinan negara yang tidak berbelah bahagi dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.
Mohd Azam juga menasihatkan warga pemuda di negeri ini untuk sentiasa intelek dalam menilai sesuatu isu dan penjadi benteng kepada perpecahan.
Perhimpunan 27 Mac ini adalah anjuran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Tun M antara yang mengesahkan akan menghadirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan