Guan Eng terima serangan balas daripada pihak kerajaan kerana mempersoalkan 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion.
KUALA LUMPUR: Serangan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung isu pembelian banglo berharga RM2.8 juta bersifat peribadi, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Malah, Ketua Pembangkang itu tidak menolak tuduhan terhadap Guan Eng sebagai usaha serangan balas terhadap pemimpin pembangkang yang mendedahkan isu 1MDB serta derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ada juga unsur-unsur begitu (serangan peribadi) nampak seperti dia (Guan Eng) menjadi sasaran sebab bila kita (pembangkang) lihat apa yang berlaku kepada dana RM2.6 bilion dan 1MDB, bila masa kita buka mulut tentang itu, ada individu yang akan dipecat dan hadapi masalah.
“Saya rasa mereka mensasarkan pihak pembangkang kerana perkara ini (isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion) sering kali dibangkitkan pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh menyambut baik kesediaan Guan Eng bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjawab segala tuduhan yang dibuat.
Wan Azizah bagaimanapun menegaskan, isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion lebih besar berbanding tuduhan terhadap Guan Eng.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan akan menyiasat kes itu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menerima suapan daripada pihak yang berkepentingan.
Isu pembelian rumah oleh Guan Eng timbul apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membuat pendedahan di Dewan Rakyat minggu lalu.
Shabudin mendakwa, nilai pasaran harga rumah berkenaan dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Guan Eng menafikan dakwaan itu dan menegaskan harga banglo itu dpersetujui melalui rundingan terus dengan pemiliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan