SHAH ALAM: Seorang pemimpin kanan PKR berkata mantan Timbalan Presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang
di Parlimen jika parti pimpinannya, Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
komited dengan agenda reformasi.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Harapan sedia
menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak selagi mereka menghormati
syarat utama iaitu untuk mewujudkan timbang tara di Malaysia.
"Jika mereka tidak komited dengan reformasi, maka kita akan menukar
pimpinan secara nama daripada seorang individu kepada individu lain. Ini
isu kerjasama, ia bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi, itu
normal.
"Kita kena ingat semasa DAP memenangi kerusi yang banyak majoriti pun,
mereka mencadangkan jawatan ketua pembangkang dipegang Datuk Seri Anwar
Ibrahim," katanya dipetik daripada Sinar Harian.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun berkata perkara itu
terlalu awal untuk dibincangkan memandangkan BERSATU baru saja
didaftarkan.
"Pada saya, ia terlalu awal untuk diberitahu, parti BERSATU baru
didaftarkan, yang penting wujudkan momentum dan buat kerja," katanya.
Muhyiddin pada 9 Ogos lalu mendaftarkan BERSATU di Pendaftar Pertubuhan
(RoS), yang mana parti baru itu turut disertai beberapa bekas pemimpin
Umno yang lain.
Antaranya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; mantan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Gabungan
Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman.
Menurut Muhyiddin, keahlian parti itu terbuka kepada golongan
bumiputera namun golongan bukan bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli
bersekutu.
Kenyataan itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Pemuda DAP yang menyifatkan ia bersifat rasis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan