Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Pada
permukaannya jika diambil kira congakan politik mutakhir, tidak akan
berlaku strategi ‘satu lawan satu’ dalam pilihanraya umum (PRU) ke-14
kerana parti-parti pembangkang masih bercempera “maqasid” politik
mereka.
Sehingga Sabtu lalu, sudah ada tiga blok politik utama di Malaysia.
Pertama, Barisan Nasional; kedua Pakatan Harapan, dan ketiga Gagasan
Sejahtera. Setiap satu blok ada kelebihan dan masalah tersendiri.
Pemimpin-pemimpin utama Umno kini berusaha keras untuk menyuntik
semangat baru di kalangan ahli dan penyokong akar umbi untuk berasa
bangga dan yakin dengan rekod khidmatnya lantas kekal mengundinya.
Jika keyakinan dan semangat cinta parti ini dapat digilap, Umno akan
terus menjadi peneraju utama untuk meresapkan tenaga politik hebat bagi
BN.
Yang tidak pasti sekarang ialah struktur dan ragam politik dalam
Pakatan Harapan (PH). Perkembangan politik terkini mencatatkan PH kini
banyak perbezaan pendekatan di kalangan ahlinya daripada persamaan
halatujunya.
Dalam PKR soal lapisan pemimpinnya agak kelam. Meskipun sudah pemilihan
dalam parti sehingga selepas PRU 14, pergeseran mengembangkan pengaruh
dan kedudukan dalam parti masih giat berlaku.
Hubungan PKR dengan DAP pula nampaknya agak bercelaru. Agak sukar PKR
mengekalkan statusnya sebagai parti dominan dalam pakatan berkenaan
kerana ketiadaan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun
lalu.
Kecelaruan ini dimanifestasikan dalam tindakannya pada Pilihanraya
Negeri (PRN) Sarawak Mei lalu apabila PKR mengambil sikap agak keras dan
tegas bersaing dengan DAP untuk mendapat lebih banyak kerusi yang
ditandingi.
Politik ‘bertegang urat leher’ ini melarat ke pilihanraya kecil (PRK)
Sungai Besar dan Kuala Kangsar di mana hasrat PKR mahu melonjakkan aura
kepimpinannya dengan meletakkan calon dan memenangi PRK Sungai Besar,
tidak kesampaian.
Ini kerana DAP mengambil pendirian mengizinkan Amanah menguji
pengaruhnya di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Impian PKR mempamerkan
ketangkasannya di Selangor (yang ditadbirnya) hanya tinggal impian.
Hubungan PKR dengan DAP agak genting apabila ia mengambil pendirian
tidak bersetuju DAP menggunakan strategi ‘memaksa’ PRN dilaksanakan
Pulau Pinang yang terbukti kubu kuatnya DAP.
Ini kerana PKR percaya status sokongan daripada rakyat untuknya kini
agak longgar dan mencemaskan. Pencapaian bawah 10 kerusi dalam PRU
ke-13, akan mengabsahkan persepsi bahawa kedudukan politiknya semakin
lemah.
Gagasan bersandarkan idealisme politik yang muluk. Ia berpaksikan cogan
PAS yang mahu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera, kata
presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
"Rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada
yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme,
nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara.
"Satu lagi jalur politik menekankan budaya politik emosi, politiking
melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat,"
kata Abdul Hadi.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata,
Gagasan nampaknya cuba mewujudkan sebuah gabungan ‘orang tengah’.
Beliau berkata, pendekatan demikian memberi PAS peluang membentuk
pakatan di antara dua gabungan politik di negara ini, iaitu BN dan PH.
"Jika BN memerlukan mungkin tahaluf siyasi nanti, dia (PAS) akan
mempertimbangkan situasi ini. Sekiranya BN kalah tipis dia (PAS) mungkin
bersama pakatan untuk membentuk gabungan mereka," katanya.
Dr Shamsul berkata, PAS menggunakan Tahaluf Siyasi dalam kekalutan
politik dan PAS menghakimkan bila “Gajah lawan gajah dia ada di tengah
itu untuk cari gajah mana yang kuat," tambahnya.
Rasional Dr Shamsul Adabi yang bersandarkan fe’el politik PAS di
Selangor agak munasabah. Pendekatan politik yang menyulam kerjasama
dengan PKR tetapi bersaing dengan DAP, adala pendekatan siasah yang agak
progresif.
PAS tahu PKR akan terus bergantung kepada hemahnya untuk terus turut
memerintah Selangor bersama DAP tetapi pada masa yang sama DAP juga
‘terpaksa’ berkongsi kuasanya mentadbir negeri termaju di Malaysia itu.
PAS menamakan pendekatan itu sebagai doktrin politik matang dan
sejahtera. Kini IKATAN pun menganut fahaman itu. Hubungan PAS-DAP ibarat
doktrin ‘benci tapi rindu’.
Namun sifir ini belum mengambil kira kemunculan parti yang dilakar Tun
Dr Mahathir Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang menyasarkan untuk
menumbangkan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno dan perdana
PH, terutama Amanah, amat ghairah mahu memikat Bersatu menjalin
kerjasama politik. DAP pun demikian kerana percaya kehadiran Tun
Mahathir akan membuka pintu politik Melayu untuk menyokong PH.
PKR kini juga kelihatan mesra Bersatu setelah Anwar cuba memadamkan
amaran awalnya akan kelicikan politik Mahathir dengan pesanan ‘PKR sedia
bekerjasama dengan sesiapapun yang mahu reformasi total’.
Namun persoalan yang tentu timbul ialah siapakah akan mengepalai
kerjasama itu? Menurut rekod Mahathir tidak pernah kalah pertarungan
politik. Beliau boleh berlembut dan bersikap kejam berpolitik.
Paling penting, tidakkah ada kemungkinan jika Umno dapat dilemahkan,
natijah mungkin ia bertukar pucuk pimpinan. Memang demikian idaman
Mahathir.
Di samping itu tidakkah ada kemungkinan bahawa matlamat Mahathir ialah
menyambar peluang merujuk kembali pada Umno jika menang dan ketika itu
Umno tiada pilihan selain ‘bekerjasama’ pula dengan PH.
Dalam keadaan itu, Bersatulah kemungkinannya pula akan menjadi tulang
belakang PH dan BN. Nama BN boleh bertukar kepada PH. Namun Mahathirlah
demang sebenar. Siapa bijak berpolitik? PAS atau Mahathir?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan