Beliau menafikan kerjasma dengan Anwar dan Daim dalam menjatuhkan Musa Hitam daripada jawatan No.2 kerajaan
(FMT) – Bekas menteri besar Kedah Tan Sri
Sanusi Junid menganggap Tun Musa Hitam bukanlah seorang yang hebat
sehingga memerlukan gandingan “konspirasi” bagi menjatuhkan beliau
sebagai timbalan perdana menteri dulu.
“Kejatuhan Tun Musa adalah kerana sikap
dan tindakannya sendiri,” tulis Sanusi dalam portal Malaysiakini,
membalas tuduhan Musa dalam bukunya “Frankly Speaking” yang dilancarkan
minggu lalu.
Musa, timbalan perdana menteri pertama di
bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan pada 1986 dan terus
bersara daripada politik.
Dalam bukunya, beliau menamakan Datuk
Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi sebagai pemimpin Umno
yang membuat tuduhan palsu ke atasnya cuba menggulingkan Dr Mahathir.
Sanusi berkata beliau hanya mula aktif dalam permainan politik Umno selepas Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Musa.
Katanya, Musa berundur kerana “cemburu”
dengan keputusan Dr Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah yang
pernah dikalahkan Musa, di samping kemaraan Anwar.
Sanusi turut menafikan dakwaan beliau “melaporkan sesuatu yang tidak baik” mengenai Musa kepada Dr Mahathir.
Sebaliknya, beliau mendakwa pernah
diminta Dr Mahathir supaya membantu kempen Musa dalam pertandingan
merebut jawatan timbalan presiden Umno dengan Razaleigh.
“Bila Tun Mahathir menyarankan
pertandingan untuk jawatan timbalan presiden Umno bagi menentukan
timbalan perdana menteri, saya telah diminta oleh Tun Mahathir untuk
mengetuai kempen untuk menyokong Tun Musa, walaupun saya merasakan
Tengku Razaleigh lebih layak,” kata Sanusi.
Penjelasan Sanusi ini dilihat bercanggah
dengan dakwaan bekas ketua pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin
Maidin, yang mengesahkan wujud gandingan Anwar-Daim-Sanusi yang diberi
singkatan “AIDS”.
“Yang tersembunyi di sebalik gerakan
senyap ini ialah cita-cita Anwar Ibrahim dan Sanusi Junid untuk menjadi
perdana menteri dan Daim Zanuddin sebagai kingmaker yang tersembunyi,”
kata Zainuddin semalam, merujuk dua bekas menteri kewangan di era Dr
Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan