SERI KEMBANGAN: "Kami sedia hadapi sebarang kemungkinan," kata anggota
keluarga Dr Fauziah Mohd Hassan, wakil tunggal Malaysia yang menyertai
misi kemanusiaan Women's Boat to Gaza (WBG), mengenai nasibnya setelah
kapal yang dinaiki kumpulan mereka ditahan pihak Israel.
Suami Dr Fauziah, Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata penglibatan
isterinya dalam misi kemanusiaan ke beberapa negara sejak sekian lama
telah menjadikan dirinya dan anak-anak mereka sudah biasa dengan keadaan
itu.
"Walaupun penahanan itu merupakan yang pertama kali terjadi ke atasnya,
kami sudah sedia dengan segala berita yang bakal diterima.
"Bagaimanapun kami sangat berharap agar pihak Israel dapat melepaskan
kesemua ahli misi termasuk isteri saya dan seterusnya dapat meneruskan
misi mereka ke Gaza bagi membantu masyarakat yang memerlukan di sana,"
katanya kepada pemberita.
Kapal Zaytouna-Oliva bersama tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita WBG
termasuk Dr Fauziah ditahan pada pukul 2.58 petang waktu tempatan (9.58
malam waktu Malaysia) pada Rabu.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan kapal itu yang dalam
perjalanan menuju Gaza ditahan dan ditunda oleh tentera Israel di
Pelabuhan Ashdod.
WBG disertai wakil dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki,
Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia bagi
menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Mohd Alauddin berkata, kali terakhir beliau menerima panggilan daripada
isterinya ialah pada Sabtu lalu ketika kapal tersebut melalui perairan
Pulau Crete, Greece.
"Menerusi panggilan itu, dia cuma cakap semuanya dalam keadaan baik dan
peserta misi bersemangat tinggi untuk meneruskan misi mereka,"
katanya.
Anak kedua Dr Fauziah, Shamil Mohd Alauddin, 31, berkata beliau dan
keluarganya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai ibunya
menerusi carian berita di Internet.
"Apabila dapat tahu (mengenai penahanan), kami reda dan selalu berdoa agar mereka dapat dibebaskan secepat mungkin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan