SHAH ALAM: Seorang pekerja pusat jagaan orang tua di Klebang, Melaka
ditahan polis, selepas sebuah video yang memaparkan dirinya memukul
sorang warga emas menjadi viral di media sosial.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din menerusi twitter beliau.
"Syabas JSJ Melaka, tangkap satu lelaki seorang penjaga rumah orang tua
yang disyaki melakukan perbuatan yang membahayakan penghuninya
semalam," demikian twit beliau.
Sementara itu, Berita Harian yang memetik Pengerusi Jawatankuasa
Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk
Latipah Omar melaporkan, pusat jagaan itu diberi tempoh lima hari untuk
menghentikan operasi.
Kata Latipah, pengusaha pusat mesti menghubungi waris penghuni untuk
membawa mereka pulang manakala warga tua yang tidak mempunyai waris pula
akan dihantar ke Rumah Seri Kenangan di sekitar Melaka.
Selain kes itu, Latipah berkata, pusat terbabit tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Terdapat sebanyak 73 pusat jagaan di negeri ini yang berdaftar,
manakala kurang daripada 20 lagi belum berdaftar dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. "Siasatan awal mendapati, pusat
jagaan warga emas ini sudah diberikan nasihat supaya berbuat demikian
(mendaftar) sejak tahun 2015, sebaliknya mereka tetap berdegil (tidak
mendaftar)," katanya.
Terdahulu, video berdurasi 11 saat yang memaparkan seorang lelaki
memarahi dan memukul warga emas menjadi viral di media sosial.
Ia mendapat kecaman dan kutukan netizen yang menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan