Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS Selangor yakin pertandingan tiga penjuru sesama
pembangkang dapat dielakkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak
walaupun parti Islam itu tidak bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman percaya pendirian partinya
tidak bergabung dengan PH ada manfaatnya, iaiitu sekurang-kurangnya
dasar PAS dapat dipelihara sebaiknya.
Menyentuh realiti di Selangor dengan terkuburnya Pakatan Rakyat (PR),
objektif satu lawan satu masih boleh dilakukan kerana setiap parti tetap
mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya.
"Sejak dari dahulu PAS terbuka sehingga boleh duduk semeja dengan DAP
dan PKR. Yang menjadi masalah apabila dua dasar parti tidak selari dan
tidak dihormati oleh semua pihak, maka mengakibatkan kita tidak sekata.
(Namun) Kita masih percaya bahawa kekuatan tidak sekata boleh
disatukan, walaupun tidak bergabung dalam satu bumbung, tidak duduk di
dalam PH, tetapi formula satu lawan satu masih boleh dicapai," demikian
menurutnya kepada Antarapos, hari ini.
Khairuddin memberikan reaksinya terhadap usaha yang sedang digerakkan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin
yang mahu menjadi pengikat kerjasama PAS dan pakatan pembangkang supaya
tidak terlibat dalam perlawanan tiga penjuru menentang Barisan Nasional
(BN) nanti.
Bukan itu sahaja bekas Timbalan Presiden Umno yang dipecat itu ketika
berucap di pentas program bersama PAS di Kemaman baru-baru ini
mencadangkan supaya satu bentuk kerjasama dapat dijalinkan secara rasmi
dalam PH khususnya dengan PAS bagi mewujudkan gelombang perubahan besar
ke arah pembentukan kerajaan baru pada PRU14 akan datang.
Idea Muhyiddin itu juga rentetan 'seruan' pengerusinya, Tun Dr Mahathir
Mohamad yang mahu kesemua parti pembangkang, termasuk PAS untuk bersatu
dan bekerjasama.
Mengulas hal itu, Khairuddin secara peribadinya berpendapat usul
kedua-dua bekas tokoh Umno itu boleh diterima dalam matlamat
memperkuatkan kedudukan pembangkang.
"Idea Mahathir mahu pembangkang duduk bersama dalam satu blok. Di
Selangor, kita masih dalam satu kelompok bersama PKR, DAP dan Amanah.
"Tetapi pandangan kita di Selangor bahawa jika kita masih dalam keadaan
tidak sekata seperti sekarang, saya ingat agak sukar untuk kita masuk
PRU114 nanti," ujar ADUN Paya Jaras itu.
Muhyiddin juga pernah menerangkan bahawa tiga jenis kerjasama yang
boleh berlaku antara PPBM dengan gabungan pembangkang sama ada
pembentukan barisan pembangkang, kerjasama antara PPBM, PAS dan Pakatan
Harapan (PH), atau kerjasama pilihan raya antara kesemua parti
pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan