PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan sabitan dan
hukuman gantung sampai mati ke atas bekas penarik kereta, Koong Swee
Kwan yang didapati bersalah membunuh pengasas Kumpulan Perbankan
Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, tiga tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin
sebulat suara memerintahkan supaya kes itu dikembalikan semula ke
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan semula di hadapan hakim
lain selepas mendapati wujudnya unsur prejudis yang amat ketara terhadap
Swee Kwan selaku pihak perayu.
Rayuan akhir Swee Kwan terhadap hukuman mati ke atasnya itu dibenarkan
selepas mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Hisyam Teh Poh Teik
agar anak guamnya dibicarakan semula di hadapan seorang hakim yang lain
kerana hakim bicara terdahulu bersikap berat sebelah terhadap perayu.
Perayu didapati bersalah membunuh Hussain, 75, dan cubaan membunuh
isterinya di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No. 4, Lorong
Ceylon di ibu negara antara pukul 1.30 petang dan 2 petang, 29 Julai
2013.
Keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 18
tahun terhadap Swee Kwan, 46, atas sabitan cuba membunuh isteri pengasas
AmBank itu, Cheong Mei Kuen, 50, turut diketepikan.
Hakim Zulkifli menetapkan 19 Disember ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan