Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Permuafakatan politik secara rasmi yang dicapai antara Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pakatan Harapan (PH) belum tentu
menjamin kekuatan kaum Melayu, kata penganalisis politik, Profesor
Datuk Dr Ramlah Adam.
Beliau berpandangan sedemikian kerana melihat kepada terlalu banyak
kewujudan parti yang berasaskan kaum Melayu sehingga melemahkan kaum
tersebut.
"Orang Melayu yang semakin lemah kerana berpecah kepada banyak parti.
Dan orang Cina pula melihat kekuatan DAP sebagai wakil mereka," katanya
ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Beliau mengulas bersabit muafakat politik yang dicapai kedua pihak
berkenaan dalam mewujudkan satu calon sahaja mewakili pembangkang dalam
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujar Ramlah, sokongan orang Melayu kini semakin terbahagi kepada banyak
kumpulan, setelah wujudnya dua lagi parti baru yang merujuk kepada
Amanah dan PPBM.
Kononnya PPBM wujud sebagai alternatif kepada orang Melayu yang tidak
mempercayai pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, manakala Amanah pula
dengan perjuangan liberalnya berbanding politik Islam yang dibawa PAS.
Bagaimanapun Ramlah mempersoalkan apakah kewujudan parti-parti Melayu
yang baru ini benar-benar mampu menarik sokongan kaum tersebut untuk
berpaling daripada menyokong Umno dan PAS.
"PPBM pula, adakah orang-orang Melayu totok akan tinggalkan Umno?
Mereka akan melihat Muhyiddin dan Mahathir sebagai orang seperti Anwar.
Dimana PPBM hendak berharap?
"Orang-orang muda? Mereka juga kritikal, bukan ikut cakap Mahathir.
Yang bukan Melayu juga persoalkan sikap Mahathir, ketika mentadbir
begitu, sekarang nak kata orang buruk, jadi mereka pun tak percaya,"
demikian menurutnya lagi.
Bukan itu sahaja, melihat kepada dominasi DAP dalam PH, Ramlah
berpandangan parti pimpinan Lim Kit Siang itu cuba meraih sokongan kaum
Melayu berdasarkan parti-parti baru itu.
"DAP menaja semua orang, sebab itu Najib katakan sama ada kita pilih
Umno atau DAP, sebabnya beliau sudah mendapat feedback jelas.
Parti-parti baru ditubuhkan sama ada Amanah dan PPBM memang tidak akan
berjaya menggugat kedudukan orang Melayu yang telah terbahagi kepada
Umno dan PAS.
"Jadi Amanah dan PPBM hanya 'mengendeng' (merapati) orang Melayu. Saya
tidak fikir orang percaya kepada Amanah sebab kita tahu parti itu
mencuri kerusi PAS," katanya lagi.
PPBM pada 13 Disember lalu mengikat perjanjian dengan Pakatan Harapan
untuk meletakkan satu calon sahaja mewakil gandingan itu pada pilihan
raya umum akan datang.
Menurut draf perjanjian berkenaan, semua parti yang terlibat bersetuju
pembahagian kerusi akan dilakukan menerusi perundingan berdasar prinsip
kebolehmenangan calon.
Dibawah perjanjian itu juga, PH dan PPBM bersetuju meneruskan rundingan
dengan PAS dalam usaha pembangkang mewujudkan pertandingan satu lawan
satu untuk berdepan dengan Umno-Barisan Nasional pada PRU14 kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan