Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Pendekatan politik yang tidak konsisten di kalangan
parti-parti pembangkang menyebabkan misi untuk menjatuhkan kerajaan Umno
Barisan Nasional (BN) mungkin gagal dicapai, demikian menurut
penganalisis politik Prof Dr Nasrudin Mohammed.
Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM itu
berkata sikap pembangkang yang obses untuk menjalinkan kerjasama dengan
parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didokong
oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad nyata tidak
diterima rakyat.
Malah sikap tegas PAS yang tidak setuju dengan gabungan Pakatan Harapan
(PH) dalam aktiviti menukar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak
dengan cara yang tidak sah turut mengundang kepada kegagalan itu,
katanya.
"Kita melihat suasana politik semasa dimana keadaan parti politik cuba
untuk bergabung dimana yang mungkin dan menjarakkan diri untuk satu
matlamat iaitu menumbangkan (kerajaan) Barisan Nasional dan dalam
suasana ini parti yang jelas berdepan dengan risiko adalah Umno BN.
"Saya rasa apa yang berlaku sekarang ini merupakan tindakan parti
politik yang mula menetapkan bahawa parti mereka melalui idealisme
perjuangan masing-masing. Ada sedikit perubahan yang dilakukan oleh
beberapa buah parti namun ada juga parti yang tidak menunjukkan sebarang
tanda untuk berubah, macam DAP tetap begitu," katanya kepada Antarapos.
Malah, kewujudan Amanah dalam gabungan PH menyebabkan PAS enggan
menyertai gabungan itu kerana adanya Amanah yang dianggap pengkhianat
oleh PAS.
"PAS kelihatan kembali cuba untuk mengekalkan idealisme mereka semula
setelah lama agak tersasar dan kehilangan pengundi terutamanya dengan
tindakan PAN (Amanah). Ini yang menghuru-harakan suasana politik semasa
terutamanya dalam blok pembangkang.
"Ada kemungkinan PAS sebenarnya terpaksa mengambil pendirian sebegini
(bersendirian) kerana dia tersepit dan tidak boleh terlalu kehadapan
dalam konteks Pakatan Harapan dan tidak boleh dilihat terlalu
menyebelahi atau menyokong Umno BN dan beberapa kenyataan yang
dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
memperlihatkan bahawa PAS perlu berhati-hati dan mungkin redha dengan
keadaan semasa ini terutamanya apabila PAS terpaksa berhadapan dengan
tegas dalam isu Amanah khususnya," katanya.
Terbaru PH dan PPBM mengikat perjanjian untuk meletakkan satu calon
mewakili gandingan itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perjanjian itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu
(Presiden AMANAH) dan Muhyiddin sendiri selaku Presiden PPBM.
Justeru itu menurut Dr Nasrudin, Umno BN tidak harus memandang enteng
penglibatan parti serpihannya PPBM yang diterima baik dalam blok
pembangkang bagi menghadapi parti pimpinan Pengerusi BN Datuk Seri Najib
Razak pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.
"Jual beli dan tawaran antara parti politik dalam pembangkang itu
semakin rancak terutamanya ada parti baru yang dilihat punya potensi
yang tidak diyakini potensinya secara besar-besaran terutamanya Bersatu
(PPBM) tetapi ia menyumbang kepada kerancakan blok pembangkang untuk
menyusun strategi tumbangkan Umno BN.
"Hal ini menyebabkan Pilihan Raya yang bakal menjelang sebagai satu
pilihan raya yang boleh dianggap sebagai penentu perjalanan dan hala
tuju politik Malaysia yang mungkin berbeza dengan yang sebelumnya.
"PPBM dilihat sebagai satu elemen yang menjadikan pembangkang itu lebih
menarik terutamanya dalam situasi khususnya DAP yang sebelum ini
sebagai tunjang kerana kemenangan besar. PPBM menjadi elemen besar yang
mungkin boleh menetapkan hala tuju baru dalam kalangan blok
pembangkang," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan