MALAYSIAKINI
Parti-parti pembangkang yang bernaung di bawah Pakatan Harapan hanya sependapat dan bersatu dalam melontarkan dakyah serta pelbagai fitnah terhadap kerajaan dalam usaha meracuni pemikiran rakyat, kata ahli parlimen Umno Anuar Manap.
Bagaimanapun, katanya, apabila isu agihan kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya ditimbulkan, senario adalah berbeza.
Beliau berkata parti-parti baru seperti Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) menagih "simpati" dari sekutu mereka yang lebih mantap dalam usaha untuk meletakkan calon masing-masing pada pilihan raya umum.
“Sudah tentu masing-masing menyatakan mereka lebih layak untuk bertanding di satu-satu kawasan dalam usaha memastikan agenda parti masing-masing berjaya.
“Tidak lebih daripada itu,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.
Ahli Parlimen Sekinjang itu seterusnya menjangkakan kemelut dan krisis agihan kerusi akan terus berpanjangan sungguh pun pembangkang hari ini dilihat cuba membawa perkara berkenaan ke meja rundingan dalam mencari jalan penyelesaian.
Bagi Anuar, yang pasti PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi-kerusi yang sukar dimenangi kepada sekutu mereka.
“Mungkin inilah kawasan-kawasan yang akan diberikan kepada parti-parti baharu itu.
“Namun belum tentu akan mencapai persetujuan bersama kerana seperti apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak apabila ianya berubah pada saat-saat akhir dengan bertembung sesama sendiri,” katanya
Pilihan raya negeri Sarawak pada bulan Mei lalu, menyaksikan DAP dan PKR meletakkan calon masing-masing di enam kerusi, dan tewas di semua kerusi berkenaan.
Pemimpin DAP dan PKR yang bertelagah berhubung perkara itu, terus menyalahkan antara satu sama lain.
Awal bulan ini, Pakatan Harapan dan BERSATU menandatangani pakatan pilihan raya untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.
Selain daripada agihan kerusi, pembangkang juga menghadapi masalah berhubung siapa yang bakal diangkat sebagai perdana menteri sekiranya mereka merampas kuasa persekutuan dalam pilihan raya tersebut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan