Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamad Razlan Mohamad Rafii mempersoalkan tindakan merobohkan resort milik Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos di Sekinchan, Selangor semalam berbanding premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor.
Sambil menyifatkan perkembangan semasa sejak akhir-akihir ini seolah-olah nasib rakyat tidak diambil endah oleh kerajaan negeri Selangor, Razlan berkata, resort milik Jamal menjadi mangsa dendam kesumat kerajaan negeri.
Tindakan merobohkan premis milik beliau oleh Majlis Daerah Sabak Bernam dilihat umpama dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Bukankah sepatutnya pemilik premis diberikan notis beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
"Alangkah indahnya jika premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor dapat diambil tindakan pantas dan drastik sebegini. Tapi sayangnya premis haram tidak berlesen seperti di pekan Sekinchan dibiarkan saja oleh pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan.
Semalam, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) merobohkan sebuah resort di Sekinchan selepas menghantar notis perintah tutup pada sebelah pagi.
Notis bertarikh 22 Disember itu antara lainnya menyebut pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.
Notis juga menyebut pemeriksaan MDSB mendapati Jamal telah melakukan kesalahan tersebut di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.
Jamal dalam catatan di Facebook mendakwa arahan perobohan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
“Kerja-kerja meroboh permis perniagaan saya oleh majlis dearah Sabak Bernam sedang dilakukan atas arahan MB.
“Pagi tampal notis petang ini roboh. Ini adalah tindakan balas dendam oleh kerajaan negeri terhadap kelantangan saya mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Azmin Ali.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Selangor yang derita dengan masalah air yang tidak ada,” katanya.
Bagaimanapun ADUN Sekinchan,Ng Suee Lim ketika dihubungi Malaysiakini untuk mengesahkan laporan itu berkata perobohan berkenaan tidak ada kena mengena dengan bantahan yang dibuat oleh Jamal.
“Tiada dendam... ini (hanya) kebetulan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Razlan berkata, jika ia melanggar undang-undang yang ditetapkan, penyelesaian secara berhemah perlu dilakukan dan bukannya dibuat mengikut telunjuk pihak tertentu.
"Apa yang terjadi hari ini sememangnya memelikkan kerana notis dihantar pagi, sebelah petangnya premis dirobohkan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan