PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan
semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman
kes liwat yang dihadapinya.
Dalam prosiding yang bermula pada jam 10.19 minit pagi tadi, panel lima
hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri
Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membuat keputusan itu selepas
mendapati permohonan semakan berkenaan mengikut aturan 137 Kaedah-Kaedah
Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai sebarang merit.
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan
kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses
mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di
Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki
hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
Bagaimanapun peraturan penjara bersabit dengan kelakuan banduan mungkin membolehkan Anwar dibebaskan pertengahan 2018.
Pasukan peguam Anwar juga dijangka menimbang kemungkinan mengemukakan
rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Anwar memohon semakan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun
penjara terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan.
Selain itu, secara alternatif dia memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuan itu berdasarkan kepada merit.
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mensabitkan Anwar dan
memerintahkannya dipenjara lima tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan