HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Februari 2017

Kembara solo seorang wanita dan basikalnya

Shawaliah Hadir
 
 
Hanya dengan menaiki basikal, Violet Biru telah selesai menjelajah New Zealand, China, dan kini sedang berada di Turkey dengan matlamat ke lima buah negara lagi.

MELANCONG  dan mengembara. Kebanyakan orang pada masa kini lebih memilih melancong daripada mengembarakan.

Melancong adalah ke sesuatu tempat dengan tujuan  perjalanan yang bersenang-senang.

Manakala mengembara pula adalah menjelajah ke sesuatu tempat tanpa mempunyai kediaman yang tetap, dan itulah yang dilakukan oleh wanita berusia awal 30-an yang berasal dari Klang.

violet biru1

“Pengalaman manis tentunya dapat bertemu dengan masyarakat dengan caranya yang tersendiri secara solo dalam masa yang sama menjadikan impiannya yang unik sebagai realiti dengan menjelajah negara luar menggunakan basikal.

Violet sebelum ini bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak kelapa sawit selama tujuh tahun nekad untuk berhenti kerja demi memulakan pengembaraannya pada Mac tahun lalu.

Berkongsi cerita dengan Berita Daily, beliau berkata pengembaraan dengan basikal menjamin kepuasan yang lebih untuk dirinya berbanding mengembara secara normal seperti orang lain.

“Impian saya sejak dahulu lagi untuk menjelajah, melihat negara luar. Basikal ini adalah medium atau cara saya buat masa ini untuk merealisasikan impian itu.

“Sebelum ini saya mengembara biasa tanpa basikal tetapi saya tidak dapat merasakan keseronokan menjelajah secara menyeluruh,” kata Violet.

Bermula dengan menjejakkan kakinya di New Zealand, beliau meneruskan perjalanannya ke China dan akan ke Turkey iaitu negara yang bakal menjadi ke lapan Violet jelajahi.

Perjalanan yang tidak menggunakan kenderaan lain kecuali menunggang basikal sudah tentu memerlukan tahap kesediaan fizikal yang baik, Violet akan berhenti di kawasan-kawasan tertentu dan membina kemah untuk berteduh dan berehat sebelum memulakan perjalanannya.

violet biru3

Demi melaksanakan pengembaraan solo, sudah tentulah wanita kental ini mementingkan kekuatan mental agar dapat menghadapi sebarang cabaran yang kemungkinan bakal dihadapinya sepanjang perjalanannya.

Oleh kerana Violet tidak seperti yang dilakukan oleh orang lain, menjelajah secara berkumpulan, wanita ini memaklumkan cabaran yang tidak dapat dielakkannya adalah diganggu oleh segelintir kumpulan lelaki tempatan yang ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga pernah diganggu oleh haiwan liar ketika dalam perjalanan.

“Pengalaman pahit berhadapan dengan orang yang cuba mengambil kesempatan disebabkan saya travel secara sendiri dan juga bila berhadapan dengan anjing liar di jalanan.

“Pernah sekali terbabas dengan basikal akibat dikejar anjing gila”,” tambah Violet.

Walaubagaimanapun wanita cekal ini akan merasakan kepuasan dan kemanisan dalam pengembaraannya apabila dirinya diterima baik oleh masyarakat tempatan di negara yang ditujunya.

“Saya inginkan sesuatu yang lebih daripada perjalanan saya sebelum ini, saya mahu berjumpa dengan lebih banyak masyarakat tempatan dan merasai sendiri pengalaman mengembara.

violet biru2

“Pengalaman manis tentunya dapat bertemu dengan masyarakat tempatan yang mempunyai pelbagai jenis ragam dan cerita. Kebaikan mereka sangat menyentuh hati. Saya takkan dapat lupakan masyarakat di central asia yang sangat baik hati menjemput saya bermalam dan makan/minum di rumah mereka walaupun mereka bukan orang yang berada,” ujarnya.

Melalui pengalaman seperti ini memerlukan Violet untuk mempunyai pengetahuan yang cukup sebelum memulakan perjalannya seperti kawasan yang perlu dilaluinya dengan menunggang basikal dan tempat yang sesuai untuk didirikan kemah selain daripada menginap di hotel bajet.

Rutinnya ketika mengembara adalah memastikan basikal sebagai penemannya diselenggara dengan baik dan menepati tempoh yang sepatutnya bagi mengelakkan kerosakan di pertengahan perjalanannya.

“Semua perkara kita sendiri yang harus bertanggungjawab jika tidak mengikut perancangan. Selain dari itu tentunya pengendalian basikal  yang banyak kadang-kadang buat saya pening kepala,” kata Violet lagi.

Terkadang terdetik ketakutan di dalam diri Violet namun atas keyakinannya terhadap dirinya sendiri, beliau bertekad untuk meneruskan perjalanan ke negara lain demi memastikan satu-satunya impian dalam hidupnya menjadi kenyataan.

Bagi Violet, impian yang pelik, unik mahupun penuh dengan cabaran sebenarnya tidak mustahil kepada sesiapa atas dasar percaya kepada diri sendiri.

Tiada ulasan: