ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: PAS mahu umat Islam yang terguris dengan penerbitan
karikatur akhbar Nanyang Siang Pau, baru-baru ini memaafkan perlakuan
itu, selain berharap insiden sama tidak berulang.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan karikatur yang
dipaparkan pada 8 April lalu itu mengguris hati dan mendapat bantahan
pelbagai pihak, sekali gus menimbulkan ketegangan di negara ini.
"Kerap kali batasan antara erti kebebasan meluahkan pendirian, satira
dan sensitiviti masyarakat Islam yang meletakkan agama sebagai urusan
kehidupan yang terlalu mulia, sukar dibezakan kalangan tertentu.
"Susulan penerbitan karikatur dan bantahan yang tercetus, PAS menerima
satu surat permohonan maaf daripada Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau
bertarikh 12 April lalu dan maklumat permohonan maaf secara terbuka yang
dicetak di akhbar berkenaan.
"Oleh itu, saya mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan
karikatur berkenaan dapat memaafkan pihak akhbar berkenaan dengan
harapan ia tidak berulang pada masa depan," katanya dalam kenyataannya
semalam.
Hadi berkata, kesilapan penerbitan karikatur yang memaparkan dua ekor
monyet, masing-masing dilabel Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia dan dirinya itu berikutan keterlanjuran serta
kejahilan mereka dalam memahami batasan garisan halus sensitiviti agama.
Sehubungan itu, Hadi berkata, tindakan memaafkan pengurusan akhbar
berkenaan diharap berupaya menggembleng komitmen semua pihak untuk
menyuburkan keharmonian dan sifat saling memahami dalam kalangan
penduduk di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan