HSBC Holdings PLC, London baru-baru ini melaporkan bahawa sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah sendiri berdasarkan hasil kajian ‘Beyond the Brick’
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR hari ini menyelar cadangan Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani, rakyat menyewa rumah untuk temph yang lama sebagai satu idea yang tidak bernas.
Menurutnya, Kerajaan BN seolah-olah tidak memahami bahawa memilik sebuah rumah itu satu keperluan asas setiap individu yang menempuhi alam pekerjaan.
“Cadangan Johari Abdul Ghani telah mengecewakan rakyat dan golongan muda kerana ia bukanlah cara menangani kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. HSBC Holdings PLC, London baru-baru ini melaporkan bahawa sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah sendiri berdasarkan hasil kajian ‘Beyond the Brick’. Kadar ini merupakan satu angka yang tinggi dan rakyat khususnya golongan muda tidak boleh melengahkan masa sehingga mempunyai kemampuan untuk memilik rumah sendiri,” kata Abdul Halim Hussain dalam satu kenyataan.
Halim Hussain yang merupakan Ketua Cabang PKR Balik Pulau, menjelaskan bahawa Indeks Harga Rumah Negara Malaysia terus meningkat 5.36 peratus pada suku ketiga 2016 sungguhpun lebih rendah berbanding 7.35 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
“Harga rumah meningkat lebih daripada pendapatan isi rumah Malaysia sejak hingga 2015, mencatatkan pertumbuhan dua angka antara 2012 dan 2013.
“Oleh itu adalah satu kelebihan membeli rumah ketika usia muda kerana tempoh pinjaman kepada bank boleh dipanjangkan sehingga 30 atau 35 tahun dan dapat mengurangkan pembayaran bulanan setiap bulan.
Sebenarnya, mengambil langkah tunggu hingga mampu adalah langkah langkah yang salah kerana harga rumah tidak akan turun, sebaliknya harga rumah akan terus meningkat,” tambahnya lagi.
Ujar beliau lagi, secara tidak langsung rumah ini akan menjadi aset kepada pembeli yang mana ia mampu mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda dalam jangkamasa sederhana dan jangka panjang.
Terdahulu, Johari dipetik berkata sebagai mencadangkan sewaan untuk jangka panjang kerana bimbang anak muda terikat dengan komitmen yang tinggi di usia muda dengan beban rumah dan kereta sedangkan mereka sepatutnya tumpu kepada kerjaya dan mencuba bidang perniagaan.
“Sedarkah Johari bahawa anak muda membeli kereta adalah kerana terpaksa disebabkan Kerajaan BN gagal menyediakan pengangkutan yang awam yang efisyen untuk mereka pergi dan balik ke tempat kerja?” soal Halim.
Tambahnya, sebagai Menteri Kewangan sepatutnya Johari Ghani mencadangkan penghapusan GST dan TOL, penurunan harga minyak pada kadar munasabah, pendidikan tinggi percuma, pengawalan harga rumah, meningkatkan produktiviti pekerja supaya mendapat gaji yang lebih tinggi, mengelak pembaziran, ketirisan perbelanjawan awam dan pencegahan rasuah.
Langkah-langkah lain yang baik yang boleh dimulakan termasuklah memberi pendidikan pengurusan kewangan peribadi kepada pelajar-pelajar di peringkat awal sekolah hingga ke peringkat universiti.
“Kerajaan BN gagal mendidik pelajar-pelajar hari ini dan dahulu mengenai cara-cara pengurusan kewangan, seperti tatacara membeli rumah yang memerlukan persediaan kewangan dari peringkat awal.”
“Kesannya, rakyat pada awal usia tidak tahu bahawa membeli rumah itu sekurang-kurangnya memerlukan deposit sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga semasa,” jelasnya sambil menambah bahawa apabila rakyat hanya tahu membeli rumah itu memerlukan wang pada usia dewasa, akhirnya mereka gagal untuk menyimpan impian untuk membeli rumah.
“Menteri seolah-olah tidak memahami mengenai konsep penawaran dan permintaan hartanah yang mana kebiasaannya harga hartanah semakin meningkat. Jika beliau secara ikhlasnya ingin membantu rakyat khususnya golongan Bumiputera, beliau seharusnya menerangkan kepentingan menyimpan deposit dan mencari sumber pendapatan yang membolehkan rakyat membayar ansuran rumah mengikut jadual.”
“Begitu juga Menteri Pendidikan, seharusnya subjek pendidikan kewangan diajar sejak bangku sekolah lagi. Anak muda perlu diajar mengenai CCRIS, CTOS, Debt-to-Service Ratio (DSR), serta penyediaan bajet mengikut sumber pendapatan semua peringkat (pendapatan kecil, sederhana dan besar),” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan