Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly
berhubung kekayaan luar biasa yang dimilikinya membuktikan bahawa
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telus dan tidak memilih
dalam menyiasat mana-mana individu yang disyaki bersalah.
Bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ampang, Datuk Ismail Kijo,
tindakan yang dibuat SPRM terhadap individu berusia 28 tahun itu juga
mampu membuka mata serta memberi pengajaran terutamanya kepada golongan
muda tentang keseriusan SPRM dan kerajaan dalam menangani masalah
penyelewengan di negara ini.
“Saya merasakan bahawa tindakan yang dibuat oleh SPRM terhadap
mana-mana orang tidak kira Adam Rosly ke sesiapa (saja) yang tidak
munasabah dari segi kekayaan itu apabila dilaporkan ternyata bahawa SPRM
melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawabnya sebagai agensi yang
diamanahkan oleh kerajaan.
Malah tambahnya, penahanan ini juga dapat membersihkan nama pegawai
khas kepada Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin itu sendiri,
sekiranya terbukti beliau tidak bersalah.
“Kita mengharapkan supaya andai kata perkara itu betul-betul berlaku,
kita mengharapkan supaya hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang
dilakukan.
"Tetapi andai kata didapati bahawa beliau tidak melakukan atau
kebarangkalian memang betul kekayaan dari atas keluarga ke atau
sumber-sumber yang sahih sekurang-kurangnya tindakan ini akan
membersihkan nama beliau,” ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Sebelum ini, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos
mendedahkan kekayaan yang dianggap luar biasa dimiliki oleh Adam.
Walau bagaimanapun, Adam menafikan dakwaan itu dan berkata beliau
membeli banglo berkenaan pada harga RM1 juta melalui lelongan.
Beliau juga mendakwa kekayaan itu diperoleh daripada perniagaan yang dijalankannya.
Adam telah direman selama lima hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan