Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR berkata parti itu tidak mempunyai
masalah dengan pendedahan Naib Presidennya, Rafizi Ramli yang mendakwa
bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa menerima dana
daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata sudah menjadi intipati
perjuangan parti itu untuk membongkar segala salah laku yang membabitkan
kerajaan, termasuk pihak-pihak lain.
Tambahnya nasib yang menimpa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang dipenjarakan sehingga kini adalah 'hasil' kepada perjuangannya
mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional
(BN).
"Itulah yang diperjuangkan oleh PKR, dan itulah yang menyebabkan Anwar
masuk penjara. Apa perbezaanya? Anwar masuk penjara kerana
memperjuangkan hak rakyat dan melawan korupsi. Dan ia disambung oleh
Rafizi, apa masalahnya? Ini bukan perjuangan Rafizi, ini perjuangan
PKR," ujarnya kepada Antarapos hari ini.
Sebelum ini beberapa pemimpin parti itu berpendirian bahawa pendedahan Rafizi adalah atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, Rafizi bertindak atas
maklumat yang diperolehinya demi mendesak satu siasatan dilakukan
terhadap penyaluran dana berkenaan.
Dalam pada itu, Johari yakin dakwaan Rafizi bahawa Nasharudin menerima
dana RM90 juta daripada 1MDB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan
yang menjadi kontroversi, tidak ada kena mengena dengan kepentingan
politik dan peribadi Ahli Parlimen Pandan itu.
"Tidak salah. Ini bukan kali pertama beliau (Rafizi) mendedahkan kerana
sudah banyak isu (didedahkan), banyak isu, dan berjaya. Walaupun
kadang-kadang beliau kalah, namun secara moralnya dia tidak salah.
"Tidak ada strateginya (peribadi), malah dia akan dedahkan banyak lagi, dan saya sokong tindakannya," tambahnya.
Khamis lalu, Rafizi menamakan Nasharudin sebagai individu yang didakwanya menerima dana 1MDB.
Beliau membayangkan kemungkinan dana yang diperolehi Nasharudin itu
digunakan untuk melunakkan suara PAS berhubung kontroversi yang melanda
pentadbiran kerajaan persekutuan.
Rafizi berkata maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai
paling kanan SPRM, yang terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB yang
terpalit dengan dakwaan penyelewengan kuasa dan wang.
Nasharudin bagaimanapun menepis dakwaan itu dnegan menyifatkan ia satu
usaha untuk memburukkan namanya dan PAS, selain akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan