MUHAMMAD ARIF ISMAIL
PERATURAN menggalakkan peniaga pasar malam
menghentikan perniagaan seketika ketika azan Maghrib sudah menjadi
budaya bagi masyarakat Kelantan.
Malah ia sudah lama diterima selaras dengan Kelantan sebagai Serambi Mekah.
Malangnya usaha itu cuba diperlekehkan pemimpin sekular yang cuba mencacatkan dasar Membangun Bersama Islam.
Pengarah
Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Ashaari Mamat berkata, peraturan
menghentikan seketika urus niaga pada waktu Maghrib di pasar malam sudah
sebati dengan rakyat Kelantan.
Katanya, peraturan seperti itu sepatutnya disokong kerana ia dapat mendidik rakyat supaya segera menunaikan solat.
Lagi kata beliau solat Maghrib waktunya begitu pendek dan ia perlu disegerakan bagi mengelakkan luput waktu.
“Malangnya ada pemimpin Melayu yang berjiwa sekular tidak menerima
peraturan seperti itu. Ini sesuatu yang cukup malang bagi rakyat
Malaysia,” katanya di Kota Bharu.
Aktivis DAP, Datuk Zaid Ibrahim dilapor mahu memfailkan tindakan
undang-undang terhadap kerajaan Kelantan berikutan arahan peniaga pasar
malam supaya menghentikan perniagaan sementara ketika solat Maghrib.
"Saya akan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan minggu ini.
"Arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib adalah tidak sah,” katanya di laman sosial.
Sebelum itu Adun PAN Salor Datuk Husam Musa juga dilapor turut
mempersoalkan langkah kerajaan negeri mengenakan larangan berniaga ke
atas peniaga bukan Islam pada waktu Maghrib.
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dalam laman sosialnya
menjelaskan peraturan menghenti seketika urusniaga waktu Maghrib di
pasar malam sudah lama dilaksanakan.
Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood mengecam tindakan Ahli DAP yang mengugut mahu menyaman kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sebagai seorang beragama Islam. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan