shahbudindotcom
Bersikap
pemaaf dan sedia memaafkan memang tindakan terpuji dan itulah yang
selalu diajar, ditanam dalam hati serta didendangkan ke telinga kita
sejak kecil lagi.
Kemudian kita turut diberitahu, Tuhan pun amat pemaaf dan Nabi Muhammad SAW juga demikian sifat terpujinya.
Lalu, sebagai manusia dan sesama manusia, tidak ada kita sebab kita tidak boleh menjadi pemaaf dan memaafkan orang lain.
Dengan
demikian, apabila Hadi Awang mengajak mengajak umat Islam memaafkan
akhbar Nanyang Siang Pau kerana menyiarkan kartun monyet baru-baru ini,
beliau setidak-tidaknya masih ada sifat terpuji yang diajar Tuhan dan
Nabi.
Kenyataan
Hadi adalah susulan Kementerian Dalam Negeri sendiri memaafkan
kesalahan akhbar yang menjadi milik MCA itu dan tidak mengambil apa-apa
tindakan terhadapnya.
"Saya
dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan
karikatur berkenaan agar dapat bersama saya memaafkan pihak akhbar
berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan.
"Semoga
dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited
menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam
masyarakat," tegas Hadi lagi.
Alhamdulillah....
Cuma,
dalam Hadi bersikap begitu pemaaf kepada Nanyang yang menjadi milik
MCA, bagaimana agaknya jika akhbar tersebut merupakan milik DAP?
Adakah sikap pemaaf beliau masih sama juga?
Dalam
masa yang sama, jika Hadi boleh memaafkan akhbar Nanyang yang
mempersenda Akta 355 dengan menyiarkan kartun monyet, mengapa mereka
yang seagama yang menjadi musuh politiknya digelar dengan pelbagai
panggilan - daripada kafir, taghut, assabiyah, munafik, biawak, syaitan
besar dan syaitan kecil, barua dan macam-macam lagi?
Kenapa
beliau tidak bersikap pemaaf kepada mereka, sebaliknya suka melabel
dengan panggilan-panggilan yang kasar serta meloyakan?
Mengapa
dengan akhbar milik MCA saja Hadi begitu tebal sikap pemaafnya dan
seolah-olah menampakkan begitu murni jiwa dan hatinya, tetapi tidak
kepada pihak-pihak yang lain?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan