HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 April 2017

Keluar PPBM, tindakan puak ‘desperado’ GKCM?

Editor Berita Daily

GKCM hari ini hanya tinggal nama kerana sebaik PPBM tertubuh, Muhyiddin Yassin sendiri telah menyarankan, agar gerakan penentangan terhadap Najib Razak menerusi platform GKCM dibubarkan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Cawangan Umno hari ini tampil ke hadapan mempertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas beberapa ahli Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) bertindak keluar dari PPBM.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab beberapa kerat ahli GKCM yang telah memperalatkan GKCM untuk melempiaskan kekecewaan mereka setelah tidak dilantik sebagai Ketua Penaja Bahagian PPBM yang diumumkan baru-baru ini.

“Lebih dikesalkan, puak ‘desperado’ ini cuba mencemar reputasi serta nama baik pucuk kepimpinan PPBM dengan cuba memberi gambaran salah dan buruk tentang kepimpinan dan urustadbir pucuk pimpinan parti,” kata Ramli Awang yang menggelarkan dirinya sebagai bekas Pengasas GKCM.

Mantan Ketua Umno Cawangan Sua Betong, Teluk Kemang itu turut mendedahkan bahawa GKCM hari ini hanya tinggal nama kerana sebaik PPBM tertubuh, presiden parti Muhyiddin Yassin sendiri telah menyarankan, agar gerakan penentangan terhadap Najib menerusi platform GKCM dibubarkan.

“Malahan mereka turut cuba menjejaskan pandangan umum terhadap kredibiliti Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad sendiri.”

“Percubaan untuk menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PPBM dengan memperalatkan GKCM amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencabar puak-puak desperado ini “mengisytiharkan” berapa ramai ahli-ahli GKCM berada di belakang mereka.

“Yang kelihatan cuma terdapat dua bekas ketua cawangan Umno dan seorang bekas naib ketua cawangan yang terlibat di dalam ‘Press Release’ yang dikeluarkan semalam,” jelasnya.

“Lain-lain yang hadir dalam perjumpaan tersebut adalah ahli PPBM yang tidak pernah menganggotai Umno sebelum ini,” tambah beliau lagi.

Menurut Ramli lagi, mereka ini jelas sekali adalah kroni Kamarul Azman Habibur Rahman yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi Ketua Bahagian di beberapa bahagian di Negeri Sembilan yang diumumkan baru-baru ini.

Kamarul Azman yang lebih dikenali sebagai Cikgu Kamarul adalah anggota MPT yang dilantik yang juga merupakan Pengerusi GKCM. Beliau tidak hadir di dalam perjumpaan tersebut.

“Sikap baling batu sembunyi tangan Cikgu Kamarulazman, dengan membiarkan GKCM diperalatkan oleh puak-puak yang kecewa ini, adalah tindakan menikam belakang pucuk pimpinan dan ini merupakan cubaan jahat untuk memusnahkan kepercayaan ramai terhadap PPBM yang baharu ditubuhkan.”

“Saya adalah pengerusi penganjur pertama sewaktu GKCM awal-awal dibentuk untuk menjadi sebuah pertubuhan. Selepas ditubuh secara rasmi, barulah Cikgu Kamarulazman dilantik sebagai pengerusi GKCM, walaupun beliau sebenarnya tidak pernah menjadi Ketua Cawangan Umno di Teluk Kemang,” ujar beliau
sambil menambah GKCM sudah obsolete secara teknikalnya supaya GKCM ini dibubarkan terus, memandangkan hakikatnya GKCM bukanlah sebuah pertubuhan yang sah atau hakiki dari sudut perundangan (tidak berdaftar dengan RoS).

“Kami, dengan ini menyatakan sokong yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan parti PPBM, khususnya Pengerusi, Dr Mahathir, Presiden Muhyiddin dan Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir dalam mengemudi PPBM sehingga kerajaan BN dapat ditumbangkan, seterusnya mengambilalih kerajaan bersama rakan PH dalam PRU14 yang akan datang,” katanya.

“Kami juga menyatakan sokongan penuh kepada Ketua-Ketua Bahagian yang telah dinamakan oleh Pucuk pimpinan baru baru ini. Kami akan bersama-sama mengembeling kudrat untuk memastikan PPBM bersama PH berjaya mengambilalih Negeri Sembilan pada PRU 14 yang semakin hampir,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Kamarul Azman yang juga merupakan bekas Setiausaha Kerja PPBM, mengumumkan keluar parti bersama 821 ahli parti serpihan itu di seluruh negara, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga antara tujuh pengasas parti serta GKCM belum memutuskan parti bakal disertai.

Tiada ulasan: