Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: 'Keputusan yang waras', kata seorang pemimpin tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersabit keputusan Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang tidak menawarkan dirinya sebagai calon perdana
menteri jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk Putrajaya pada
pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin berkata, PH perlu
mempertimbangkan daripada segala segi terhadap apa jua strategi bagi
mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), termasuk soal penentuan calon
perdana menteri dan juga barisan kepimpinan yang akan dibentuk.
"Itu adalah sesuatu yang waras bagi saya kerana mana mungkin seorang
yang berada dalam penjara nak mencalonkan dirinya menjadi perdana
menteri.
"Saya percaya rakyat sudah matang dan bijak, rakyat tidak akan membuat
satu keputusan yang boleh buatkan Malaysia ditertawakan seluruh dunia
dengan memilih seorang calon yang berada dalam penjara contohnya. Banyak
isu di situ.
"Jadi kita kena bertanggungjawab dalam sebarang strategi yang kita
umumkan untuk PRU14, supaya rakyat lebih yakin dengan kita," katanya
kepada Antarapos.
Anwar kelmarin membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan
menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika PH menang pada
PRU14.
Ketua Umum PKR itu melalui kenyataan yang dikeluarkan partinya berkata,
PH harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem
dan ke arah kemenangan PRU14.
Pembangkang diminta henti buat kenyataan jawatan PM
Bersetuju dengan saranan Anwar, tambah Anina, pada ketika ini, PH perlu
'berehat' seketika daripada kerap mengeluarkan kenyataan bersabit calon
perdana menteri mahupun barisan kepimpinan PH kerana tidak mahu rakyat
menilai gabungan itu dari sudut negatif ekoran pertikaian yang
berterusan.
"Saya harap apa juga makluman yang nak disampaikan kepada umum tentang
keputusan pucuk pimpinan PH hanya diumumkan selepas kita betul-betul ada
keputusan muktamad, bukan yang berubah-ubah. Kerana ini akan beri kesan
yang tak baik kepada PH.
"Rakyat akan melihat ketidaktentuan dalam proses membuat keputusan dalam PH," kata beliau.
Ketika diajukan mengenai pandangan Anwar yang menolak usul PPBM untuk
menguasai jawatan pengerusi dan presiden dalam pakatan pembangkang itu,
Anina berpandangan, kenyataan itu seolah menjurus kepada agenda rakyat
melebihi kepentingan mana-mana parti politik.
"Soal kalau letak individu ini dan apa kesan kepada parti yang lain,
berubah kerangka dan sebagainya, ia sudah memperlihatkan bahawasanya
penentuan siapa yang akan memimpin PH itu telah bertunjangkan
kepantingan parti tertentu. Sedangkan kita nak pilih pemimpin ini untuk
rakyat, bukan untuk kepentingan parti politik masing-masing," ujar
beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan