KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global
Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, beliau akan
mematuhi cadangan dalam laporan berhubung FGV oleh bekas menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
Katanya, beliau melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai
penasihat undang-undangnya dalam siasatan dalaman yang dimulakan bekas
pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, ekoran dakwaan salah laku dalam urus
niaga membabitkan syarikat Afghanistan bernama Safitex dan anak syarikat
FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
“Berhubung siasatan dalaman yang ditubuhkan Isa, saya yakin akan
dibuktikan tidak bersalah dan dengan ini, saya melantik Muhammad Shafee
sebagai penasihat undang-undang bagi menguruskan perkara ini (dakwaan
salah laku),” katanya dalam kenyataan semalam.
FGV menjadi tumpuan media apabila 4 eksekutifnya, termasuk Zakaria
diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan dalaman berhubung
tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil.
Susulan itu, kerajaan pada 7 Jun lalu melantik Idris sebagai pihak
berkecuali untuk meneliti penggantungan 4 pegawai kanan itu, selain
meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung
keputusan tersebut.
Semalam, laporan bebas Idris berhubung siasatan dakwaan pelanggaran
prosedur dalam FGV menunjukkan ada fakta dan alasan munasabah untuk
memulakan prosiding disiplin terhadap 4 pegawai kanan syarikat itu.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, kerajaan
dan FGV berkata, syarikat itu perlu meneruskan prosiding disiplin yang
sedang dijalankan dan eksekutif terbabit boleh membela diri “sejajar
undang-undang keadilan asasi” serta tiada siapa bersalah sehingga
dibuktikan siasatan dalaman.
Kerajaan dan FGV berkata, mereka sudah mendapat laporan Idris mengenai
keputusan Lembaga Pengarah FGV menggantung Zakaria, Ketua Pegawai
Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan
Delima Oil Products, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV
Trading, Ahmad Salman Omar.
Semalam, Isa meletak jawatan serta-merta sebagai pengerusi FGV,
beberapa jam selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak
di Putrajaya.
Susulan itu, perdana menteri mengumumkan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi FGV bagi menggantikan Isa.
Isa yang dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas
FGV mulai 1 Januari 2011, kini memangku tugas pengerusi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jawatan yang dikosongkan selepas
persaraan Tan Sri Syed Hamid Albar pada 3 Jun lalu.
Sementara itu, Zakaria mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob atas pelantikan sebagai pemangku pengerusi FGV.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan