HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Jun 2017

Anina sokong Anwar, calon PM dipilih secara konsensus

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
SHAH ALAM:  Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyokong kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa calon Perdana Menteri mesti ditentukan oleh konsensus Pakatan Harapan (PH).
 
Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Anina Saadudin menambah, tidak timbul isu bahawa Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin mencalonkan diri sendiri bagi jawatan berkenaan kerana mantan perdana menteri itu tidak pernah berbuat demikian.
 
"Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri.
 
"Tetapi saya ingin bagi tahu Tun Dr Mahathir Mohamad setakat ini tidak calonkan dirinya sebagai perdana menteri, dia cakap kalau dipujuk oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain, maksudnya konsensus", katanya ketika dihubungi oleh Antarapos.
 
Dr Mahathir ketika diwawancara secara langsung menerusi Facebook baru-baru ini berkata akan mempertimbangkan jawatan perdana menteri jika mendapat persetujuan dalam kalangan PH.
 
Anwar yang mengulas kenyataan Dr Mahathir pada hari ini berkata tokoh pemimpin itu hanya boleh menjadi calon perdana menteri jika mendapat persetujuan pemimpin PH.
 
Mengulas lanjut perihal berkenaan, ujar Anina, kenyataan Dr Mahathir perlu difahami dengan teliti di mana tokoh pemimpin itu menyatakan hanya akan mempertimbangkan jawatan berkenaan sekiranya disokong secara konsensus oleh PH. 
 
"Persoalan saya di sini adalah adakah Tun Dr Mahathir Mohamad pernah walau di mana sekalipun dalam ucapan dia dan bersama wartawan pernahkah dia mencalonkan dirinya menjadi Perdana Menteri? 
 
"Tidak pernah, dia cuma kata kalau orang nak dia jadi Perdana Menteri tidak mengapalah, itu bermakna (keputusan) konsensus," katanya lagi.
 
Ujar Anina juga, PKR dalam masa yang sama tidak wajar membuat keputusan menjangkaui konsensus PH sebagaimana saranan Anwar.
 
Beliau merujuk kepada Kongres Nasional PKR baru-baru ini yang sepakat menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-7.
 
"Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan PH mengumumkan calon Perdana Menteri Malaysia ke-7  adalah Anwar Ibrahim. 
 
"Kerana perkara tersebut perlulah mengambil kira suara ke semua orang untuk siapa nak menjadi perdana menteri itu perlulah diputuskan oleh keputusan bersama. 
 
"Tidak bolehlah sewenang-wenangnya satu parti, walaupun PKR telah lama bersama Pakatan harapan, tidak bolehlah dia sewenang-wenangnya mencalonkan diri sebagai Perdana Menteri," ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: