HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Jun 2017

Tiba masanya ahli politik berganding bahu sokong haram alkohol dalam pesawat - PAS

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bukan hanya perlu menyokong saranan mengharamkan penyajian hidangan alkohol di dalam pesawat, sebaliknya perlu usahakan untuk membawa isu tersebut ke Parlimen.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata sudah tiba masanya ahli politik berganding bahu dalam membawa saranan pengharaman tersebut sebagai satu tanggungjawab demi keselamatan bersama.
 
Tambahnya, saranan tersebut juga dilihat selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara yang memperjuangkan Islam sebagai agama persekutuan.    
 
"Walaupun bukan dibawah Kementerian Pelancongan tetapi sebagai seorang Menteri dia boleh bawa perkara ini ke dalam Kabinet. Membuat saranan sebagai satu tanggungjawab bersama semua ahli politik kerajaan.
 
"Jadi sampai masa ahli politik kerajaan pun kita gesa semua ahli-ahli politik daripada Barisan Nasional untuk agar bangkit bersama dalam isu-isu seumpama ini untuk kemaslahatan rakyat. Ini bukan cerita hukum agama sahaja, ini cerita keselamatan penumpang kerana sesuatu itu tidak akan diharamkan dalam Islam melainkan pasti ada kebaikan untuk masyarakat," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, tidak ada sebab pengharaman alkohol akan menjejaskan kedudukan syarikat penerbangan berkenaan.
 
"Sampai masa saya menggesa MAS mengambil satu tindakan drastik dan memberi contoh pada orang lain untuk diharamkan arak.
 
"Saya rasa penumpang juga tidak akan beralih arah kepada kapal terbang lain semata-mata kerana arak. Arak bukan daya penarik untuk seseorang ada ke kapal terbang," jelasnya.
 
Semalam, Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri Umno berkata, cadangan pengharaman alkohol bukan satu perkara baru sebaliknya telah sekian lama mendapat gesaan orang awam.
 
Bagaimanapun ujar Mas Ermieyatie, ia di luar kawalan kementeriannya, sebaliknya berada di bawah bidang kuasa kementerian pengangkutan.  
 
Justeru ujarnya, kementerian pengangkutan perlu mengambil kira saranan dan pandangan dari orang ramai berhubung perkara itu.
 
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS sekali lagi mendesak supaya Malaysia Airlines (MAS) dan kerajaan supaya mengharamkan alkohol daripada menu syarikat penerbangan itu susulan insiden penumpang dipercayai mabuk dalam penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur beberapa hari lalu. 
 
Tindakan penumpang itu turut menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik. 
 
Dua tahun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Colombo terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang yang mengamuk kerana permintaannya untuk dihidangkan minuman keras tidak dilayan. 
 
Ia mengundang gesaan beberapa pihak supaya syarikat itu berhenti menyajikan arak dalam penerbangan.
 
Gesaan sama pernah dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin susulan kejadian kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 pada 2014.
 
 

Tiada ulasan: