Oleh Ahmad Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Amanah menyifatkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak
menawarkan dirinya sebagai perdana menteri sebagai usaha untuk menutup
soal berkenaan yang dikhuatiri menjadi perbalahan berterusan dalam
Pakatan Harapan (PH).
Sambil menyambut baik keputusan tersebut, Pengarah Komunikasi Amanah,
Khalid Samad berkata, seiring dengan pengumuman itu, semua parti
komponen dalam PH harus menghormati saranan Anwar untuk tidak menjadikan
isu perdana menteri sebagai isu utama pada ketika ini.
"Saya rasa dia tarik diri daripada persoalan menjadi perdana menteri
kerana tidak mahu isu ini berpanjangan, biar bertumpu kepada kerja-kerja
pilihan raya dulu, itu yang penting, soal siapa menjadi perdana menteri
ini bukan satu perkara yang kita boleh bincang dan putuskan pada waktu
ini.
"Jadi, ianya merupakan satu tindakan bertujuan untuk menutup
perbincangan, perbahasan dan perbalahan kalau adalah berhubung persoalan
siapa yang akan menjadi perdana menteri.
"Biar menang pilihan raya dulu baru bincang, buat masa ini dia tarik
diri untuk menunjukkan persoalan ini tidak penting, sekarang ini yang
penting adalah buat kerja dan dapatkan sokongan rakyat," Katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Dalam pada itu, Khalid turut menyokong sepenuhnya kenyataan Anwar yang
tidak bersetuju dengan usul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk
merombak struktur pentadbiran PH.
Ahli Parlimen Shah Alam itu malah berkata, sebagai parti baru, parti
teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu sepatutnya menghormati 'cara kerja'
gabungan berkenaan yang diasaskan terlebih dahulu oleh parti lama.
"Saya pada dasarnya saya terima dengan baik peringatan, jangan kita
rombak, iyalah pasal masuknya Bersatu (PPBM) ke dalam Pakatan Harapan,
Bersatu ini satu parti yang baru yang datang dari daripada latar
belakang pengalaman politik yang berbeza dan kadangkala cara dia buat
keputusan dan cara dia buat tindakan dan sebagainya berbeza dengan
kita.
"Lalu Pakatan Harapan ini kena pertahankan budaya musyawwarah, membuat
keputusan secara konsensus dan sebagainya, dan Bersatu perlu memahami
itulah budaya kerja yang kita nak cetuskan dan perkenalkan kepada negara
dan kita tidak mahu berdekatan yang sepertimana wujud khususnya dalam
Barisan Nasional (BN).
"Jadi, apa yang dicadangkan adalah sebagai satu peringatan supaya kita
tidak terlalu tumpu untuk menang pilihan raya sehingga kita lupa
pendekatan yang sekian lama sudah diguna pakai,"katanya.
Ketika ditanya sejauh mana keputusan Anwar itu akan memberi kesan
kepada kepercayaan rakyat terhadap PH, beliau mengatakan isu tersebut
tidak timbul kerana penyokong mereka memahami perjuangan sebenar Anwar.
"Jadi saya rasa ianya akan menaikkan lagi kesungguhan rakyat untuk
memenangkan Pakatan Harapan setelah dilihat bahawa Anwar sanggup sampai
satu tahap dia merupakan calon utama yang disokong oleh semua pihak.
"Tetapi dia sendiri sanggup menolaknya kerana ini bukan persoalan
perjuangan untuk menjadi perdana menteri dan sebagainya tetapi ianya
merupakan satu perjuangan yang bertujuan membawa perubahan yang lebih
bermakna kepada rakyat jelata dari segi ekonominya," katanya lagi.
Ditanya lebih lanjut sama ada PH akan mengusulkan nama baru
'menggantikan' Anwar, beliau berkata, sekiranya itu dilakukan pada masa
kini, maka saranan Ketua Umum PKR itu adalah sia-sia.
"Tujuan (penarikan diri Anwar) supaya jangan bincang soal siapa yang
akan menjadi perdana menteri, jika kita buat cadangan nama yang lain,
kita akan mulakan tindakan yang bertujuan untuk menamatkan perbahasan
tentang siapa nak menjadi perdana menteri,"ujarnya.
Anwar semalam membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan
menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika P) menang pada
PRU14.
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus
memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke
arah kemenangan PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan