Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Menteri dengan Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishamuddin
Hussein berkata, persiapan yang telah dilakukan untuk pilihan raya kecil
(PRK) di kawasan Pujut akan diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya
Umum (PRU14) akan datang.
Katanya, meskipun Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan untuk mengekalkan
Dr Ting Tiong Choon (DAP) sebagai ADUN Pujut, Barisan Nasional (BN)
tidak menganggap persediaan mereka sebagai satu perkara yang sia-sia.
"Rayuan...kita melalui saluran yang sedia ada tetapi akhirnya kita
terpaksa berdepan dengan PRU pun, jadi apa yang telah kita lakukan untuk
persiapan pilihan raya di Pujut tu tak sia-sia kerana kita akan gunakan
untuk parlimen Miri nanti.
"Jadi saya tengok semua yang kita buat sekarang ni ada hikmah dia,
kelebihan dia dan kalau kita ambil kesempatan persiapan itu untuk
melihat kepada agenda yang lebih besar iaitu untuk memastikan kemenangan
semua calon-calon kita dalam PRU14 tu, saya rasa apa yang kita lakukan
hari ini dalam panduan PRU14 juga merupakan sebahagian daripada usaha
kita untuk mempersiapkan diri kita menjelang PRU14," katanya dalam
sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Panduan PRU14 di Pusat
Dagangan DUnia Putra (PWTC) di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah
Tinggi Kuching semalam yang memutuskan untuk mengembalikan semula status
Ting sebagai ADUN Pujut.
Ia susulan DUN Sarawak pada 12 Mei lalu memutuskan bahawa Ting telah
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana didakwa mempunyai
kerakyatan Australia.
Perkara itu bagaimanapun telah ditarik balik oleh mahkamah semalam
selepas meneliti kehilangan kelayakan Ting tidak sah atas pelbagai
sebab, justeru menjadikan PRK di DUN Pujut pada 4 Julai ini, terbatal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya semalam akur dengan
perintah mahkamah dan akan mengadakan mesyuarat khas bagi memuktamadkan
keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan