shahbudindotcom
Beberapa
hari lalu, sempena Ramadan, Najib Razak menyeru umat Islam agar menjaga
tutur kata dan mengelak tuduh-menuduh atau menyebarkan fitnah.
Dalam
catatan di blognya, beliau berkata umat Islam seharusnya mengambil
peluang untuk menghayati Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan
ini.
Beliau
seterusnya mengingatkan bahawa tuduhan liar atau menyebarkan fitnah
adalah perbuatan yang merugikan serta boleh membawa kepada kemusnahan.
Itu
pesan yang dititipkan Najib sebelum Sarawak Report muncul dengan
pendedahan beserta beberapa bukti tentang bayaran sebanyak RM9.5 juta
melalui akuan peribadinya kepada peguam, Shafee Abdullah yang dilantik
kerajaan sebagai ketua pendakwaraya dalam kes liwat 2 membabitkan Anwar
Ibrahim.
Dalam
kes perlantikan Shafee sebagai ketua pendakwaraya mengendalikan kes itu
di Mahkamah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy
Shukri pernah memberitahu Parlimen pada 11 Mac 2015 bahawa bayaran yang
dikenakan kepada peguam berkenaan cuma RM1,000 sahaja.
Dalam
mempertahankan perlantikan Shafee itu, Najib turut memberitahu bahawa
kes liwat 2 itu tidak melibatkan UMNO, kerajaan atau dirinya, sebaliknya
adalah antara Saiful Bukhari selaku pengadu dengan Anwar semata-mata.
Tetapi,
dengan pendedahan Sarawak Report bahawa Najib didapati membayar RM9.5
juta kepada Shafee, apakah tujuan wang sebanyak itu dibayar kepada
seorang ketua pendakwaraya melalui akuan peribadi Najib sendiri?
Benarkah kes liwat itu hanya semata-mata kes antara pengadu iaitu Saiful dengan Anwar saja?
Jika ia hanya kes yang melibatkan Saiful dengan Anwar, buat apa Najib sanggup membayar sehingga RM9.5 juta kepada Shafee?
Dari
segi moral dan pertanggungjawaban, berbanding Shafee yang menerima
bayaran lumayan itu, beban untuk bersikap jujur, berkata benar dan
berterus-terang adalah lebih memihak kepada Najib yang membuat
pembayaran tersebut.
Ia
bukan saja kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tetapi juga
kerana kadangkala Najib terlihat begitu licik bermain dengan kata-kata
seperti menasihati rakyat menjaga kata-kata, tidak membuat tuduhan
melulu dan mengelakkan fitnah, semata-mata untuk menjelmakan dirinya
terlihat suci dan bersih.
Tambahan
lagi, wang dalam akuan peribadi Najib itu juga didakwa bersumberkan
daripada dana SRC International yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB
sebelum ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan.
Nah...sekarang
Sarawak Report sudah tampil dengan beberapa bukti mengenai apa yang
dituduhnya dan pelbagai pihak juga sudah pun membuat laporan polis,
apakah pula Najib berani tampil dengan kata-kata yang jujur, benar serta
berterus-terang supaya jika apa yang dituduh oleh Sarawak Report itu
sebagai fitnah dan tuduhan melulu?
Beranikah
Najib, sempena Ramadan yang mulia ini, di sebalik menyeru dan
menasihati rakyat agar menjaga kata-kata, tidak membuat tuduhan melulu
atau menyebarkan fitnah, beliau sendiri menunjukkan teladannya terlebih
dahulu dengan tampil bersama wajah kebenaran untuk menangkis dakwaan
terhadapnya?
Apakah
gunanya jika Najib sekadar menyeru orang lain berbuat kebaikan, tetapi
diri sendiri bersifat sebaliknya atau jika ada dakwaan yang disertakan
dengan bukti-bukti tertentu, beliau hanya membisu dan membatukan dirinya
saja?
Jika
nasihat menjaga tutur kata, tidak menuduh dan dan tidak menyebarkan
fitnah itu merupakan suatu kebaikan, apakah kurangnya kebaikan jika
berani tampil dengan jujur, berterus-terang dan berkata yang benar dalam
soal bayaran RM9.5 juta yang dibuatnya kepada Shafee itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan