HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

Syed Saddiq masih 'hijau' dalam berpolitik - penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
BANGI: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu terus belajar bagaimana untuk menjadi ahli politik yang budiman dan menggunakan saluran yang betul untuk menegur rakan politik dalam partinya.
 
Penganalisis Politik, Dr Salawati Mat Basir berkata demikian mengulas tindakannya menuntut Datuk Hamidah Osman meletakkan jawatan selepas percaya Naib Presiden PPBM itu bertanggungjawab di atas tindakan ahli akar umbi Perak keluar parti beramai-ramai sebelum ini. 
 
“Saya rasa dia masih hijau dalam politik, dia kena tahu adab-adab dalam berpolitik. Kalau dilihat di antara Datuk Hamidah dengan Syed Saddiq ni, Datuk Hamidah orang lama, orang lama dalam Umno dan Syed Saddiq ni baru sahaja masuk.
 
“Seorang pemimpin politik yang baik akan bermusyawarah dalam lingkungan ahlinya sahaja dan masa di situlah akan tercetusnya perbalahan atau apa sahaja, tetapi hanya di situ bukan cara lempar-melempar, cabar-mencabar seperti yang kita lihat hari ini, terutama daripada generasi muda kepada orang yang lebih tua," ujarnya ketika ditemubual Antarapos.
 
Terdahulu, pemimpin Armada itu lantang menuntut Hamidah keluar parti selepas dipercayai menjadi punca 1000 ahli serta pemimpin PPBM Perak keluar parti.
 
Hamidah sebelum itu mengakui wujud krisis dalam parti serpihan Umno itu dan meminta agar pimpinan tertinggi PPBM menyelesaikan permasalahan itu.
 
Syed Saddiq sebelum itu dikritik bekas ahli PPBM, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang menganggap anak muda itu perlu lebih berhemah dalam berpolitik.
 
Kritikan Khairuddin itu dibalas Syed Saddiq dan beliau mengajak Bekas Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan itu untuk berdebat, namun tidak bersambut.
 
Salawati dalam pada itu berkata, jika itu cara politik yang dibawa pendebat terbaik Asia itu, ia tidak akan menguntungkan PPBM.
 
“Dia akan menjejaskan PPBM, itu sebab saya kata ahli politik yang baik tidak akan cabar-mencabar sesama ahli, mereka akan bergaduh di dalam kelambu ahli iaitu di dalam lingkungan ahli itu sahaja, apa yang akan berlaku di luar mereka tak akan cakap.
 
“Adalah lebih baik beliau membawa ketidakpuasan hati itu kepada saluran parti politik beliau daripada cabar-mencabar dan menunjukkan bahawa rakyat akan terfikir kredibiliti mereka (PPBM) untuk memerintah negara kalau mereka asyik berbalah sesama mereka," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: