HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Jun 2017

Hamidah mungkin kecewa tak dilantik ke jawatan tertentu - Kamaruddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang lagi pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak menolak bahawa kepincangan yang berlaku di dalam parti itu berpunca daripada ketidakpuasan hati Naib Presidennya dalam soal berkaitan jawatan.
 
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor mendakwa Datuk Hamidah Osman pernah menyuarakan kekecewaannya berhubung pelantikan jawatan yang tidak menyebelahi pihaknya.
 
"Itu agak jelas kerana beliau (Hamidah) menyuarakan hal itu di hadapan Muhyiddin. Namun seperti yang saya katakan, jika kita merasakan orang lain tidak boleh buat lebih baik daripada kita, kita berilah kepercayaan itu kepada orang itu dulu. Jawatan ini tak kekal, ia semua penaja. Kita kena ada kepercayaan kepada pimpinan pusat yang telah buat keputusan melantik sesiapa," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Sebelum ini Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Hamidah untuk meletakkan jawatan, ekoran mendakwa bekas Ketua Wanita Umno Gopeng itu menjadi punca 1,000 ahli serta pemimpin PPBM di Perak keluar parti baru-baru ini.
 
Namun begitu tuduhan Syed Saddiq disanggah Hamidah dengan menyifatkan ia satu tuduhan liar tanpa adanya bukti kukuh.
 
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata Hamidah seharusnya merasa 'cukup' dengan peranan yang diberikan kepadanya, sekaligus ia juga membuka ruang kepada individu lain di dalam parti itu.
 
"Agak menghairankannya juga mengapa soal ini menjadi besar, bergaduh jawatan di dalam parti...
 
"Nampak beliau hendak kawal Perak. Tetapi kami fikir setelah menjadi naib presiden dan ada tugas-tugasnya, selain diminta membantu Srikandi disebabkan beliau sebagai satu-satunya wanita yang menjadi naib presiden PPBM. Tugas membantu Srikandi itu besar cabarannya. Pimpinan memikirkan biarlah beliau tumpu di situ dan Perak biar orang lain uruskan," tegasnya lagi.
 
Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui partinya kini dilanda gelombang keluar parti yang dicetuskan oleh 'orang dalam' yang tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan.
 
Beliau berkata parti sudah mengenalpasti individu yang menjadi punca ahli-ahli di Perak keluar parti sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
 
Sehubungan itu kata Kamaruddin, PPBM akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu keluar parti yang membabitkan ramai pemimpin dan ahli parti.
 
Ditanya apakah jawatankuasa berkenaan akan turut memanggil Hamidah, Kamaruddin enggan mengulas lanjut.
 
"Kita serahkan kepada jawatankuasa untuk mengenalpasti orang-orang yang dikira sebagai bermasalah. Tidak wajarlah untuk kita beritahu siapa," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: