SHAH ALAM: Selepas tular di media sosial video seorang wanita membaling
selipar dan menunjukkan isyarat lucah ekoran berebut parkir, tampil
seorang lelaki bersuara dan menceritakan situasi sebenar insiden
berkenaan.
Muhammad Jefry Sudin, 33, berkata, kejadian itu berlaku sejurus dia
meletak kereta yang turut dinaiki isterinya, Siti Khadijah Awang, 28, di
parkir kereta berhampiran tapak Bazar Ramadan di pekan Kuah.
"Sebelum kejadian itu, saya sedang memandu kereta, manakala di hadapan
saya ada sebuah kereta dinaiki tiga wanita dan kami sama-sama sedang
mencari ruang untuk meletak kenderaan.
"Ada satu ruang kosong, ketika itu kereta di hadapan saya sudah
terlajak, jadi saya yang sempat masuk ke ruang kosong itu untuk meletak
kenderaan," katanya dipetik Harian Metro.
Ujarnya, kekecohan berlaku apabila pemandu kereta berkenaan mendakwa
ruang parkir tersebut adalah miliknya, selain turut melemparkan
kata-kata kesat.
Tindakan pemandu itu kata Jefry, kemudian mengundang kemarahan isterinya sehingga bertindak sedemikian.
"Dari segi itu (perbuatan menunjukkan isyarat lucah dan membaling
kasut) saya bagi pihak isteri mohon maaf dan saya pun tidak menjangkakan
dia bertindak sampai begitu.
"Saya menganggap kejadian itu kecil saja dan ia menjadi tular apabila
wanita yang dipercayai perakam kejadian itu memuat naik ke media sosial,
sekali gus mendapat pelbagai komen orang ramai," katanya.
Jefry dalam pada itu meminta orang ramai agar tidak membuat komen
melulu serta menyalahkan isterinya sepenuhnya tanpa mengetahui perkara
sebenar.
Terdahulu, video yang memaparkan seorang wanita berang sehingga
mengeluarkan isyarat lucah dan membaling selipar ke arah sebuah kereta
menjadi tular di media sosial.
Video berdurasi 42 saat itu dipercayai dirakamkan oleh individu dalam
kereta tersebut pada jam 7 malam dua hari lalu sebelum dimuat naik di
laman Facebook miliknya, Ann Lim dan mendapat lebih 3,000 'like' dan
11,000 perkongsian oleh netizen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan