HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Jun 2017

Jemaah terkandas, syarikat umrah berdepan tindakan batal lesen

MALAYSIAKINI



Sebuah syarikat pengurusan umrah yang menyebabkan 147 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 8 Mei lepas, berdepan tindakan dibatalkan lesen perniagaan.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kementeriannya akan membatalkan lesen syarikat terbabit dalam waktu terdekat dan memberi 14 hari notis untuk mengemukakan rayuan dari tarikh notis pembatalan disampaikan.

"Ia tidak munasabah apabila alasan yang diberikan bahawa penginapan penuh di Makkkah kerana mereka sepatutnya sudah sedia maklum bahawa bulan Ramadan adalah waktu puncak.

Sepatutnya mereka mengambil langkah awal untuk buat tempahan dan sebagainya... dan ini satu bentuk penganiayaan kepada mangsa," katanya dalam sidang media sempena majlis Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2017 di ibunegara semalam.

Mas Ermieyati berkata orang ramai diminta menyemak terlebih dahulu latar belakang syarikat yang mengendalikan umrah sebelum membuat pembayaran," katanya.

Beliau juga meminta agar kesemua jemaah umrah terbabit membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap syarikat itu.

Jelasnya, tahun lalu syarikat umrah yang sama turut menyebabkan 31 jemaah umrah terkandas di Mekah selama empat hari selain gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Katanya, bagaimanapun syarikat tersebut telah dikenakan tindakan dan telah membayar kompaun pada Februari lepas.- Bernama

Tiada ulasan: