Oleh Athirah Hanapiah
BANGI: Kenyataan Prof Abdul Aziz Bari yang menyifatkan PAS sebagai
‘mementingkan kedudukan’ ekoran enggan melepaskan jawatan di Selangor,
adalah kenyataan berlandaskan emosi sehingga sanggup mengingkari
perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Penganalisis Politik, Dr Salawati Mat Basir berkata, isu tiga exco PAS
Selangor tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana ianya sudah pun
mendapat perkenan daripada Sultan sendiri.
“Biasalah dalam politik ni kan lebih banyak marah, lebih banyak emosi.
“Apabila ia menjadi satu perkara yang senyap, maknanya dari segi itu
tiada satu arahan yang khusus, maka mereka boleh membuat pilihan untuk
keluar atau terus duduk di situ dan ketiga-tiga mereka memilih untuk
terus duduk di situ, ditambah lagi dengan titah Sultan, jadi tiada isu,
isunya ialah orang politik yang terlalu beremosi, itu sahaja.
“Biarkan saja mereka di situ, samada mereka ada fungsi atau tidak sebab
mereka dilantik secara sah dan kemudian titah Sultan pun memerintahkan
agar mereka dikekalkan, kerana saya percaya Sultan Selangor dapat
melihat suasana apa akan berlaku kalau mereka dikeluarkan,” katanya
dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
Sebelum ini, Aziz yang juga ahli DAP dalam satu kenyataan berkata,
keengganan PAS meletakkan jawatan dalam kerajaan Selangor walaupun
selepas memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, jelas menunjukkan
peribadi mereka sebenar.
Ini kerana menurutnya, ‘kedegilan’ tiga exco PAS untuk melepaskan
jawatan mereka menunjukkan bahawa parti itu terlalu mementingkan jawatan
dan semakin hipokrit jika dibandingkan dengan pimpinan parti itu satu
masa dahulu yang akan melepaskan jawatan kerana prinsip.
Mengulas lanjut, Salawati yang juga Timbalan Penasihat Undang-undang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kedudukan ketiga-tiga
exco PAS itu sememangnya sah dari segi perlembagaan kerana dilantik
sebelum keputusan memutuskan tahaluf siyasi itu dilakukan lagi.
Justeru katanya, PAS tidak sepatutnya dituduh sebagai ‘hipokrit’ dan
parti yang ‘menggilakan’ jawatan seperti yang dikatakan oleh Aziz kerana
mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan mandat terhadap
rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Ini bukan isu hipokrit ke tidak, isu pelaksanaan dasar dan
tanggungjawab kepada rakyat. Biarkan mereka habiskan tempoh ni, kemudian
habis tempoh, habis.
“Sebenarnya lantikan mereka terjadi sebelum perkara-perkara yang
berlaku selepas itu (putus tahaluf siyasi), jadi kalau mereka nak
dikekalkan sebab secara perlembagaan, sebenarnya mereka sah, dari segi
politik yang mereka tak sah, sebab parti mereka dah memutuskan hubungan,
tidak mahu berbaik-baik dengan PKR, jadi sepatutnya keluarlah, parti
kita dah tak nak kenapa kita nak duduk lagi dalam tu.
“Tapi sebenarnya secara undang-undang, mereka sah, dan tiada sebab
untuk mereka keluar, habiskan tempoh mereka hingga PRU akan datang,"
katanya lagi.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS memuktamadkan keputusan
'menceraikan' PKR kerana tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama,
dengan berada sepentas bersama seteru politik PAS, iaitu DAP dan Amanah,
dan menyerang kepimpinan parti itu.
Ia sekaligus meletakkan kedudukan tiga exco PAS dan beratus wakil parti
itu dalam kerajaan Selangor menjadi tanda tanya, tambahan selepas PKR
turut mengarahkan kesemua lantikan politiknya dalam kerajaan negeri
Kelantan untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun spekulasi mengenai kedudukan wakil PAS di Selangor
terjawab selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan hasrat
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mengekalkan kedudukan tiga
wakil rakyat PAS sebagai exco kerajaan negeri.
Tiga exco di Selangor adalah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan