HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Kemelut FGV: Najib bergulat singkirkan Isa Samad?

Berita Daily Staff

Dalam pertembungan dua ‘dinasour’ politik ini, pastinya yang terkorban dan akan dikorbankan ialah orang baik-baik dalam Felda

KUALA LUMPUR: Menyedari bahawa Pengerusi Felda Global Venture (FGV) Mohd Isa Abdul Samad bakal menjadi halangan terbesar mengekalkan kemenangan BN di kawasan-kawasan Felda, Perdana Menteri Najib Razak bergulat menyingkirkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Demikian kata, Shazni Munir Mohd Ithni, Naib Ketua Pemuda Amanah, ketika mengulas kemelut FGV diantara Isa Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakaria Arshad.

“Laporan penuh Buletin Utama TV3 semalam dan serangan lewat tulisan bloger Raja Petra Kamaruddin terhadap Isa Samad cukup memberikan signal bahawa Najib sedang bergulat menyingkirkan pengerusi Felda itu.”

“Malah,’cuti’ yang diberikan kepada Zakaria Arshad yang dikecam ramai pihak merupakan sebahagian daripada plot untuk mewujudkan gelombang penolakan terhadap Isa,” kata Shazni dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah, Shazni yang juga pengerusi Jawatankuasa Felda Pemuda Amanah gerakan ini lebih mencabar ketika Isa Samad sendiri berpendirian untuk terus kekal di tempatnya.

“Najib yang ketika ini masih dilihat takut-takut, jelas berhati-hati mengambil langkahnya. Mungkin masih dihantui sejarah silamnya dengan Isa, atau arahan-arahan yang pernah diberikan sewaktu hari-hari awal Isa sebagai pengerusi Felda,” katanya.

“Dalam pertembungan dua ‘dinasour’ politik ini, pastinya yang terkorban dan akan dikorbankan ialah orang baik-baik dalam Felda,” tegas beliau lagi.

Untuk rekod, Zakaria yang digantung jawatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV sementara menunggu siasatan berhubung tawaran tertentu membabitkan anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd selesai.

Beliau kemudiannya menyuarakan kesediaannya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja menyiasat dirinya malah organisasi itu.

Terkini dilaporkan harga saham FGV di Bursa Malaysia turun 3.5 peratus selepas memasuki senarai 10 saham cergas utama pada sesi pertengahan jatuh enam sen kepada RM1.67 dengan 14.29 juta saham diniagakan

Tiada ulasan: