HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Kalau PKR salah, bagaimana dengan PAS?

Adakah Istana Selangor akan turut diam kerana PAS sudah mesra Umno?

Badrul Hisham Shaharin

SEMALAM (kelmarin) dalam susur masa ‘Facebook’ saya, muncul beberapa keping gambar yang dikatakan Retreat Pilihanraya PRU 14 PAS Kawasan Kota Raja. Dari gambar tersebut jelas diadakan di ruang solat.

Maka terkait dengan kenyataan Sultan Selangor yang marah sangat dengan kehadiran Sivarasa Rasiah , Ahli Parlimen Subang yang dikatakan memberikan ucapan ringkas dan menyampaikan bantuan di Masjid An Nur, Subang. Sultan begitu marah.

Jika kehadiran Sivarasa menyampaikan bantuan dan berucap sedikit selaku ahli parlimen Subang membangkitkan kemarahan Sultan selaku ‘Ketua Agama Islam di Selangor’, bagaimana dengan PAS yang menggunakan ruang solat sebagai sebagai retreat Jentera Pilihanraya ?

Pihak Istana Selangor harus segera mengeluarkan pendirian mengenai perkara ini jika tidak jelas akan dilihat berat sebelah dan institusi itu sendiri terlibat dengan politik kepartian.

Di Selangor sendiri tentu ramai masih ingat bagaimana ketika satu pilihanraya kecil jentera BN menganjurkan solat hajat dan bacaan yassin bagi memenangkan calon MIC dan perbagai lagi program kaitan politik kepartian kaitan BN namun Istana tetap berdiam.

Kini jelas gambar program jentera pilihanraya PAS tersebar kelihatan seolah di ruang solat juga dalam masjid / surau / madrasah di negeri Selangor, adakah Istana Selangor akan turut diam kerana PAS sudah mesra Umno? Ini bukan tuduhan tapi pertanyaan yang harus mendapat respon pihak penganjur dan Istana juga.

Maaf dipohon dari saya buat Sultan Selangor, institusi Selangor termasuk seluruh rakyat Selangor kerana menulis kenyataan seperti ini.

Bagi saya institusi beraja yang jelas ditanggung dengan duit cukai rakyat juga harus ada tanggungjawab masyarakat dan saya tidak mahu melihat Institusi beraja yang punya peranan penting dalam negara ini dilihat negatif hanya kerana perkara seperti ini.

Ada kemungkinan pula laporan polis dibuat atas kenyataan ini, namun saya tegaskan saya pertahankan kenyataan saya ini dalam ruang demokrasi demi melihat institusi beraja di Malaysia terus dihormati dan kukuh.

Pendirian saya jelas, bagi saya fungsi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat harus diperbagaikan dan masjid harus sentiasa dimeriahkan.

Kehadiran Sivarasa menyampaikan bantuan itu tidak salah cuma dari segi adab sahaja apa salahnya jika tidak digunakan ruang hadapan utama solat kerana ia boleh mengundang perbagai polimik contohnya seperti apa yang berlaku sekarang selain menjaga kesucian ruang solat utama.

Namun ini juga seharusnya dijadikan peringatan kepada ahli politik berhenti menggunakan sentimen Istana dan seumpamanya. Bila Umno guna sentimen Istana pembangkang marah tetapi ingatkah kita bagaimana Mohamed Azmin Ali gunakan sentimen Istana demi melanggar arahan parti.

Azmin guna lobi pintu belakang malukan Wan Azizah dan Anwar. Bukan sahaja dia dapat menjadi Menteri Besar tetapi dia menyebabkan hubungan Anwar dan Sultan Selangor ‘panas’.

Keduanya ketika PKR membuat keputusan Azmin harus bertemu Sultan bagi memecat Exco PAS kerana PAS sudah putuskan hubungan dengan PKR sebaliknya Azmin bertemu Sultan meminta Sultan mengekalkan Exco PAS.

Ini jelas dalam kenyataan Istana selepas itu yang menyatakan Istana memperkenankan permintaan Azmin mengekalkan Adun PAS sebagai Exco.

Selepas itu kartel Azmin ke hulu ke hilir menjaja konon jangan ada pertikai Exco PAS dalam kerajaan Selangor kerana ia diperkenan Istana dan siapa pertikai maka seolah derhaka.

Antara sekutu kartel Azmin ialah Sivarasa itu sendiri. Kini seolah ‘padan muka’ Sivarasa kena tempelak balik. Malah lebih memalukan apabila Sultan Selangor menempelak Sivarasa dalam ucapan umum depan Azmin Ali dan Azmin Ali buat ‘bodoh’ sahaja.

Umum juga kena ingat kehadiran Sivarasa di ruang solat menyampaikan bantuan itu ialah kerana mewakili Azmin Ali yang sudah mengesahkan kehadiran tetapi membatalkan saat akhir dan mewakilkan kepada Sivarasa selaku Ahli Parlimen Subang.

Badrul Hisham Baharin merupakan Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: