Pejabat Perdana Menteri pada
19 Jun 2017 telah mengumumkan langkah-langkah penting yang diambil
Kerajaan dalam usaha memulihkan kembali imej FELDA Global Ventures
(FGV). Berasaskan kepada maklumkan jawatankuasa laporan bebas yang
diketuai oleh Dato’ Sri Idris Jala, Kerajaan mendapati terdapat asas
kukuh untuk FGV mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berhubung isu
melibatkan prosedur kontrak syarikat subsidiary FGV.
Dalam kenyataan media berkenaan juga
Pejabat Perdana Menteri menegaskan tiada mana-mana individu boleh
dikatakan bersalah sehingga dibuktikan dalam proses pengadilan yang
dilalui. Kerajaan turut bersetuju bahawa satu perubahan radikal
diperlukan di FGV bagi meningkatkan semula amalan tadbir urus korporat
dan kawalan perniagaan yang telus sama ada di peringkat Kumpulan atau
Subsidiari. Sehubungan itu, Kerajaan telah mencadangkan FGV untuk
menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti penerapan amalan-amalan ini
dalam pengurusan korporat konglomerat berkenaan.
Kerajaan juga bimbang dan prihatin
dengan penurunan prestasi kewangan yang ditunjukkan FGV dan FELDA sejak
kebelakangan ini dan satu usaha yang lebih komprehensif perlu digerakkan
bagi memastikan aspek perniagaan FGV dan FELDA mampu menjana keuntungan
yang bersesuaian dengan kos operasinya. Aspek kepimpinan, strategi
perniagaan dan model operasi harus menjadi keutamaan FGV dan FELDA.
Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan untuk melantik Tan Sri Sulaiman
Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad.
Pelantikan Sulaiman ini dilihat satu langkah baik berasaskan kepada
pengalaman beliau dalam bidang tadbir urus sebelum ini.
Setiap langkah yang diumumkan Kerajaan
ini boleh disifatkan sebagai satu usaha pemulihan yang positif dan
dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pengurusan lebih cekap FGV
dan FELDA. Hal ini juga menunjukkan tahap keprihatinan Kerajaan mengenai
urus tadbir syarikat ini. Namun begitu, satu langkah Kerajaan yang
disifatkan canggung dan tidak bersesuaian ialah melantik bekas Pengerusi
FGV, Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuatkuasa serta-merta.
Ini bukan satu langkah yang baik malah
bakal memberikan kesan besar terhadap nilai integriti yang dipegang
Kerajaan selama ini. Umum mengetahui bahawa Tan Sri Isa merupakan
sebahagian daripada individu yang turut disiasat oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kecurangan korporat dalam
FGV dan tindakan Kerajaan memindahkan beliau ke SPAD adalah tidak wajar
kerana boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menyelamatkan Tan Sri Isa
dan memberikan pandangan umum bahawa beliau tidak bersalah.
Seseorang yang terpalit dengan isu-isu
integriti seperti ini sewajarnya tidak diberikan peluang untuk mengetuai
organisasi penting seperti SPAD. Perkara paling perlu ialah memberikan
ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan jika terbukti Tan Sri
Isa tidak bersalah, maka ketika itu pelantikan di SPAD dilihat tidak
bermasalah. Namun pelantikan pada waktu kini jelas menunjukkan ada
sesuatu yang disembunyikan.
Jika dilihat dengan teliti, prestasi
kewangan FGV ketika Tan Sri Isa menjadi Pengerusi juga bukanlah
mencatatkan rekod membanggakan, sehubungan itu tiada sebarang
justifikasi kukuh untuk Kerajaan melantik beliau sebagai Pengerusi SPAD
melainkan ini hanya akan dilihat sebagai muslihat politik semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan