Kementerian hanya membuat penambahbaikan dari aspek syarat pertandingan yang ditetapkan selepas berbincang dengan Majlis Aids Malaysia dan wakil pakar perubatan.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penambahbaikan di dalam Pertandingan Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Lokman Hakim Sulaiman ia diputuskan selepas perbincangan bersama Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan kumpulan pakar perubatan dalam masa sama membuat keputusan untuk mengekalkan skop pertandingan iaitu gender dan seksualiti, kesihatan reproduktif dan seks siber.
“Perbincangan ini berjaya menyelesaikan salah faham yang timbul dan penambahbaikan bersama telah dilakukan ke atas syarat-syarat pertandingan tersebut. Semua ahli mesyuarat yang hadir bersetuju bahawa pertandingan ini merupakan langkah penting dalam usaha untuk mengembang dan memacukan program SRH untuk remaja di Malaysia.
“Skop pertandingan ini dikekalkan kepada 3 tajuk, di mana 2 daripadanya telah diolah. 3 tajuk tersebut adalah: 1) Gender dan Seksualiti 2) Kesihatan Reproduktif 3) Seks Siber,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa pertandingan itu tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dan ia tidak bertentangan dengan hak asasi manusia sebaliknya medium untuk pembentukan remaja yang mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sekali lagi, KKM ingin menegaskan hasrat murni pertandingan ini, di mana ia bukan untuk mendiskriminasikan komuniti LGBT. Malah, ia bertujuan untuk mendapat pandangan remaja mengenai kefahaman mereka berkaitan isu SRH serta meneroka pandangan, pengalaman, cabaran dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan. Pertandingan video ini juga dapat mengenal pasti jurang dalam pengetahuan dan perkhidmatan yang disediakan untuk remaja.
“Remaja adalah fasa kritikal dalam kehidupan untuk mencapai potensi seseorang manusia. Mereka adalah generasi masa hadapan kita. Persepsi dan gaya hidup remaja berkaitan SRH akan memberi impak kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka, kini, masa hadapan dan seterusnya,” tambahnya.
Bermula 1 Jun yang lalu KKM menerusi Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga sedang melancarkan kempen mencegah kecelaruan gender membabitkan gay, lesbian, transgender, transvestite dan pengkid atau tomboy.
Bertemakan ‘Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat’ pertandingan itu mengetengahkan lima kecelaruan gender sebagai antara skop utama.
Garis panduan pertandingan itu menyatakan setiap video mesti mempunyai unsur-unsur yang menunjukkan akibat menjadi LGBT, bagaimana untuk mencegah dan mengawalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan